JOHOR BAHRU – Seorang penganggur yang ditahan orang awam kerana menculik seorang kanak-kanak lelaki pada 11 Mei lalu di Taman Scientex, Pasir Gudang mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu di Mahkamah Majistret, di sini hari ini.
Tertuduh, Muhammad Rahim Ahmad, 26, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Zulhilmi Ibrahim.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa telah menculik seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun berhampiran Sekolah Agama Taman Scientex, Pasir Gudang pada pukul 11.30 pagi, 11 Mei lalu.
Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun beserta denda.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 1 Jun untuk sebutan semula kes.
Terdahulu, ketika mahkamah bersidang, tertuduh memberitahu sudah lama tidak bertemu dengan anaknya sejak sebelum Hari Raya Aidilfitri yang lalu.
“Saya cuma mahu tengok anak sahaja, sejak raya saya tak dapat tengok, takut dia kena makan,” katanya ketika berada di kandang tertuduh.
Kosmo! pada 11 Mei lalu, menyiarkan rakaman video memaparkan tertuduh didakwa menculik seorang kanak-kanak lelaki yang memakai pakaian sekolah agama namun berjaya ditahan orang awam. -KOSMO! ONLINE