PETALING JAYA – Perkembangan kes pendakwah selebriti, Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful sama ada pertuduhan mencabul dan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap seorang penuntut kolej swasta, ditarik balik atau diteruskan, akan ditentukan oleh Mahkamah Sesyen pada 31 Mei ini.
Hakim Jamaludin Mat menetapkan tarikh itu selepas pendakwaan memaklumkan pihaknya masih menunggu maklum balas daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) selepas mangsa yang juga pengadu menarik balik laporan polis yang dibuatnya.
Timbalan Pendakwa Raya P. Vitiya Monisha memaklumkan, pendakwaan masih menunggu arahan lanjut daripada AGC berhubung perkembangan kes selepas laporan polis ditarik balik.
”Saya mohon tempoh selama sebulan kerana arahan lanjut masih belum diperolehi daripada ibu pejabat. Pohon tarikh lain,” ujarnya pada prosiding tersebut.
Sementara itu, peguam Syed Amirul Syed Edros yang mewakili tertuduh memohon tarikh yang singkat selama dua minggu agar perkembangan kes itu dapat dimaklumkan secepat mungkin.
Ujar peguam bela, perkembangan kes telah dipertimbangkan sebelum ini dan tidak akan mengambil masa yang lama untuk diputuskan.
Hari ini ditetapkan untuk sebutan kes bagi membolehkan pihak pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah arahan lanjut daripada AGC sama ada kes terhadap pendakwah selebriti itu ditarik balik atau diteruskan.
Dalam pada itu, Syed Amirul ketika ditemui di luar mahkamah memaklumkan, pihaknya tidak bercadang untuk memohon tarikh akhir sebaliknya meminta pertimbangan agar arahan lanjut berkaitan kes itu diputuskan segera.
Ujar peguam bela, pihak pembelaan mahukan agar tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada kedua-dua pertuduhan yang dihadapinya.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan, walaupun pengadu telah menarik balik laporan polis, pihak pendakwaan masih mempunyai kuasa meneruskan pendakwaan terhadap Syed Shah Iqmal.
Jelas Syed Amirul lagi, perbicaraan masih boleh didengar kerana pihak pendakwaan boleh memaksa saksi hadir ke mahkamah memberi keterangan dengan meminta sapina dan waran tangkap dikeluarkan.
”Sama ada pihak pendakwaan akan meneruskan kes atau tidak, kami bersedia dalam kedua-dua keadaan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE