fbpx

Pelajar UPM jadi usahawan ternakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BIARPUN bergelar tauke lembu, Muhammad Amirul Haris tidak kekok untuk turun padang menjual sendiri daging kepada pelanggan setiap hari di pasar.

KEBANYAKAN anak muda pada masa ini kurang berminat untuk menceburi aktiviti penternakan haiwan
disebabkan statusnya yang tidak segah pekerjaan lain, selain persekitaran pekerjaan kurang menyenangkan.

Antara faktor lain bidang tersebut tidak menjadi pilihan ramai adalah disebabkan keinginan mengaut
keuntungan cepat, sedangkan bidang penternakan memerlukan masa untuk meraih laba.

Hakikatnya, ramai tidak sedar bahawa bidang penternakan mampu menjana pendapatan lumayan
sekiranya diusahakan dengan penuh dedikasi dan ketekunan.

Perkara tersebut dibuktikan oleh Muhammad Amirul Haris Asral yang menceburi penternakan lembu
pedaging seawal usianya 12 tahun.

Dia belajar daripada ayahnya yang merupakan seorang penternak lembu.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan Perkhidmatan Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi
Makanan (FSTM), Universiti Putra Malaysia (UPM) itu bukan sahaja mempunyai ladang ternakan sendiri,
malah mengusahakan perniagaan jualan daging lembu.

“Sejak kanak-kanak lagi, saya telah diajar oleh bapa cara-cara memotong daging lembu walaupun rakan-rakan lain seusia saya sibuk bermain.

“Disebabkan minat mendalam dalam bidang pertanian, saya memilih UPM sebagai platform bagi memajukan perniagaan penjualan daging segar yang kini diusahakan bersama adik lelaki,” katanya baru-baru ini.

Kini, anak sulung daripada dua beradik itu mempunyai lebih daripada 300 ekor lembu, kerbau dan kambing di dua ladang penternakan terletak di Jasin, Melaka dan Bangi, Selangor dengan keluasan ladang 12.9 hektar.

Katanya, dia merupakan individu penting yang mempengaruhi bapanya supaya menjual sendiri daging
daripada hasil ternakan di pasar bagi memaksimumkan keuntungan.

“Sebelum ini, bapa hanya fokuskan kepada penjualan lembu sahaja kepada orang tengah.

“Namun, saya yang menawarkan diri untuk menjual sendiri daging yang disembelih setiap hari.

“Kami berniaga daging setiap hari di Kampung Dato’ Abu Bakar Baginda, Bangi kerana permintaan daging lembu segar di kawasan itu sangat tinggi.

“Setiap hari, saya berjaya menjual seekor hingga tiga ekor lembu dalam bentuk daging,” katanya.

Walaupun bidang pengajian yang diambil ketika ini dikatakan tidak mempunyai kaitan dengan perniagaan diusahakan, namun kos pengurusan makanan banyak membantunya dalam penjualan daging.

Menerusi pengajian di UPM, Muhammad Amirul Haris berpeluang mempelajari dan mengaplikasikan
proses pembungkusan daging secara komersial serta cara mengawetnya supaya tahan lebih lama.

“Bidang pengurusan makanan sangat berkait rapat dengan bahan mentah iaitu daging yang diusahakan.

“Dalam kursus yang diambil, terdapat kursus pemprosesan makanan yang mengajar saya tentang pembungkusan dan mengawet daging,” ujarnya.

ANAK muda ini turutmempelbagaikan
perniagaannya dengan menjual hasil tebu dari ladang.

Dia yang merupakan pelajar diploma dalam bidang pertanian di UPM sebelum ini turut menggunakan
model menyediakan makanan lembu menggunakan rumput jeruk dan jagung yang ditanam sendiri.

Dalam pada itu, dia memaklumkan, daging adalah satu sumber makanan utama yang mampu bertahan dalam pasaran kekal, walaupun bencana alam berlaku kerana semua orang perlukan makanan setiap hari.

“Bukan mudah untuk menjadi orang senang, setiap perkara yang dilakukan perlukan usaha yang gigih bagi mencapai sesuatu dalam kehidupan yang semakin mencabar.

“Usia muda bukanlah satu penghalang untuk mengecapi kejayaan gemilang.

“Di Malaysia, tidak ramai orang yang mahu berniaga dalam bidang penternakan. Jika anda diberi peluang menceburi bidang ini, rebutlah segera. Insya-Allah, hasilnya sangat lumayan,” katanya.

Menariknya, Muhammad Amirul Haris bukan sahaja menternak haiwan dan berniaga daging, malah
turut mempunyai perniagaan yang diusahakan sendiri iaitu tanaman tebu dan pisang.

Menerusi perniagaan tersebut, dia berjaya memperoleh pendapatan bulanan yang agak lumayan. Bagaimanapun, pendapatannya akan meningkat sedikit pada musim-musim perayaan berbanding hari-hari biasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI