fbpx

Misi lunas dendam Adib sempurna di Vietnam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ADIB (kiri) berjaya merangkul emas bagi kategori Putra B selepas menundukkan lawannya dari Indonesia semalam.

HANOI – Pesilat muda negara, Muhammad Khairi Adib Azhar memastikan emas menjadi miliknya sejurus menumbangkan seteru dari Indonesia, Khoirudin Mustakim pada aksi final di temasya Sukan SEA Vietnam semalam.

Pesilat berusia 20 tahun yang sebelum ini meraih gangsa sewaktu di Sukan SEA Filipina (2019) selepas tewas lawan yang sama di separuh akhir enggan episod duka tersebut berulang, sekali gus memberikan persembahan terbaik dalam kategori Putra B (50-55kg).

Perlawanan yang berlangsung di Gimnasium Bac Tu Liem berlangsung penuh kontroversi apabila pesilat Indonesia itu dilihat menendang bahagian leher Adib hingga menyebabkan dia terba­ring seketika sebelum bangkit meneruskan perlawanan yang ketika itu berbaki empat saat.

Rezeki ternyata menjadi milik Adib apabila pesilat dari Indonesia ditolak sebanyak 10 mata ke­rana ia dianggap kesalahan berat.

Peluang tersebut dimanfaatkan secukup­nya pesilat negara dengan bertahan sehingga perlawanan ditamatkan dan menewaskan lawan dari Indonesia itu dengan mata 50-49.

“Pada Sukan SEA Filipina saya tewas dengan lawan sama di separuh akhir. Jadi, saya buat sehabis baik sebab mata pun ter­tinggal agak jauh pada mulanya.

“Saya tak kisah apa nak jadi dan tak jangka dia sepak dekat muka saya dan matanya ditolak. Memang pening dan saya terpaksa rebah, tetapi lepas tu keadaan makin baik untuk meneruskan perlawanan semula.

“Ini adalah impian saya untuk meraih emas di sini. Terima kasih kepada keluarga yang sentiasa mendoakan kejayaan,” katanya sejurus tamat perlawanan.

Sementara itu, dalam dua lagi aksi final, Siti Shazwana Ajak dan Siti Rahmah Mohamed Nasir terpaksa berpuas hati sekadar meraih pingat perak selepas tewas dalam kategori masing-masing.

Shazwana yang turun mempertahankan pingat emas sewaktu Sukan SEA Kuala Lumpur (2017) terpaksa akur dengan kehebatan lawan dari Singapura, Nurul Suhaila Mohamed Saiful 22-30 dalam kategori E Putri.

Rezeki juga tidak memihak kepada Siti Rahmah apabila tewas tipis 32-39 terhadap pesilat tuan rumah, Quang Thi Thu Nghia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI