JOHOR BAHRU – Bekas Ketua Bahagian Pontian, Datuk Tee Siew Kiong mengesahkan keahliannya dalam parti berkenaan telah digantung selama lima tahun berkuat kuasa serta-merta setelah menerima surat makluman perkara itu pada 13 Mei lalu.
Menurut Siew Kiong, pihaknya tidak menjangka akan dikenakan tindakan tegas sedemikian kerana ada ahli parti lain yang melakukan kesalahan sama hanya dikenakan tindakan penggantungan keahlian antara setengah tahun atau tiga tahun.
“Saya berasa pelik kenapa parti mengenakan tindakan tegas terhadap saya atas kejadian mengadakan ‘live’ dan sidang media semata-mata untuk jelaskan kebenaran sahaja.
“Hukuman ini tidak masuk akal, saya tidak sangka tindakan bercakap benar mampu membolehkan Presiden MCA (Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong) menggerakkan jentera parti untuk menggantung keahlian saya selama lima tahun.
“Menurut sumber dalaman parti, Jawatankuasa Tatatertib MCA pada asalnya mencadangkan untuk menggantung keahlian hanya selama satu tahun setengah sahaja, tetapi keputusan itu diubah secara tiba-tiba selepas Presiden pulang dari luar negara dan mengadakan mesyuarat majlis tertinggi,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di pejabatnya di Danga Bay, di sini hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Yayasan Sultanah Fatimah Johor berkata, pihaknya diberi masa selama 14 hari untuk membuat rayuan namun beliau akan mendapatkan pandangan beberapa pihak sebelum membuat sebarang keputusan.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang itu bagaimanapun meminta penyokongnya agar bertenang dan tidak membuat sebarang tindakan yang boleh menjejaskan parti kerana tindakan penggantungan itu adalah dendam peribadi Presiden terhadap dirinya, dan tidak melibatkan mana-mana pihak lain. -KOSMO! ONLINE