HANOI – Hasrat Malaysia untuk mengejutkan Thailand dalam final takraw regu lelaki Sukan SEA Vietnam 2021 tidak kesampaian apabila tunduk 0-2 di Gimnasium Hoang Mai.
Keputusan itu, menyaksikan skuad negara terpaksa berpuas hati dengan pingat perak kedua dalam acara sepak takraw setakat ini.
Pada aksi separuh akhir sebelum itu, menyaksikan Malaysia menjinakkan Filipina 2-0 di peringkat berkenaan menerusi gandingan Muhammad Zarif Marican Ibrahim Marican, Muhammad Afifudin Razali dan Norfaizul Abd. Razak.
Thailand yang pada mulanya membariskan Siriwat Sakha sebagai tekong, bersama Jirasak Pakbuangoen (perejam) dan Pattarapong Yupadee (pengumpan) berjaya memenangi set pertama 18-21.
Begitupun, anak didik Abdul Talib Ahmad cuba bangkit dengan membawa masuk Muhammad Noraizat Nordin (perejam), menggantikan Afifudin, namun percaturan itu tidak berhasil selepas apabila tumpas 13-21.
Gangsa dalam acara berkenaan diraih secara bersama Filipina dan Indonesia selepas masing-masing terkandas di separuh akhir yang turut dijalan hari ini.
Semalam, dalam acara berpasukan lelaki Malaysia menyumbang perak selepas menduduki tangga kedua dalam saingan yang dijalankan secara round robin.
Jurulatih negara, Abdul Talib berkata, anak buahnya sudah menunjukkan prestasi yang sebenar walaupun masih kempunan untuk meraih emas.
“Kita tengok pada saat akhir penyudah kurang berkesan sehingga membolehkan Thailand mengambil kesempatan berkenaan,” katanya selepas perlawanan tamat.
Bagi saingan wanita, Malaysia meraih gangsa dengan emas menjadi milik Thailand dan tuan rumah hanya berpuas hati dengan pingat perak. – Kosmo! Online