KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menyeru Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) untuk bersama-sama memperkukuhkan sektor perikanan negara.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, ia bertujuan bagi memastikan hasil perikanan sentiasa mencukupi dalam terus menjamin sekuriti makanan negara.
Menurutnya, subsektor perikanan berhadapan dengan pelbagai cabaran khususnya pasca pandemik Covid-19 yang mesti ditangani secara bersama.
“Ia bagi memastikan kemampanan sektor ini sekaligus membangunkan sektor perikanan secara mampan seperti yang digariskan di bawah Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2021-2030 atau DAN 2.0.
“Antara cabaran-cabaran tersebut termasuk perubahan iklim, pengurangan sumber asli, penangkapan yang berlebihan, isu nelayan asing tanpa izin, kebergantungan kepada pekerja asing, kekurangan penglibatan belia serta tahap penerimagunaan teknologi Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) yang rendah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Pelancaran Buku Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia.
Tambah Ronald, cabaran-cabaran tersebut boleh menjejaskan prestasi subsektor ini dan kesejahteraan golongan sasar pada masa hadapan sekiranya tidak ditangani dengan baik.
“Walaupun subsektor ini telah mencapai Tahap Sara Diri (SSL) melebihi 90 peratus secara konsisten dalam tempoh 10 tahun yang lalu,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE