fbpx

MAFI bersedia tangani isu krisis makanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dr Ronald melihat benih padi ketika Majlis Perasmian Program Smart Sawah Berskala Besar di Permatang Nibong, Bukit Mertajam di sini.

SEBERANG PERAI – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bersedia dengan beberapa langkah serta penambahbaikan dalam usaha mengurangkan impak cuaca tidak menentu seperti banjir dan kemarau yang dialami oleh pesawah ketika ini sekaligus mengelakkan daripada berlakunya krisis makanan pada masa hadapan.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, dalam hal ini, MAFI juga mempunyai peruntukan khas yang boleh diguna pakai untuk menampung sedikit kerugian yang dialami oleh pesawah-pesawah yang berdepan dengan masalah tersebut.

“Begitu juga dengan langkah-langkah ke hadapan yang kita ambil seperti mengenal pasti varieti-varieti (tanaman padi baharu) yang tahan terhadap perubahan cuaca dan ini merupakan kajian serta penambahbaikan yang diambil oleh pihak kementerian ketika ini,” katanya kepada pemberita ketika Majlis Perasmian Program Smart Sawah Berskala Besar di Permatang Nibong, Bukit Mertajam di sini hari ini.

Menurutnya, kesan terhadap konflik atau krisis berkaitan makanan ini bukan sahaja dirasai oleh rakyat di negara ini, bahkan juga hampir semua negara turut berdepan dengan isu kekurangan bekalan serta peningkatan kos pengangkutan serta pengeluaran yang menjurus ke arah konflik tersebut.

“Tentu sekali kita mengambil beberapa langkah untuk mengurangkan kesan itu (kekurangan bekalan dan kenaikan harga barang) kepada rakyat Malaysia.

“Bekalan ayam contohnya, kita meletakkan harga siling sebanyak RM8.90, namun, dalam keadaan sedemikian juga, kita terpaksa mengeluarkan subsidi bagi menampung kos pengeluaran yang ditanggung oleh pihak industri,” katanya.

Sementara itu, beliau memberitahu, keputusan kerajaan India untuk menghentikan eksport gandum turut memberi kesan kepada Malaysia yang mengimport bahan makanan tersebut dari negara Asia Selatan itu.

“Kita tidak menanam gandum tapi kita ada kapasiti untuk menanam jagung serta tanaman lain untuk keperluan sumber makanan negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI