fbpx

KPDNHEP beri jaminan tepung gandum cukup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kenaikan tepung gandum didakwa hanya melibatkan jenis yang tidak bersubsidi sahaja. – AFP

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menegaskan bahawa bekalan tepung gandum dalam negara adalah mencukupi dan kekura­ngan bahan itu di pasaran hanya melibatkan jenis yang tidak bersubsidi.

Ketua Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP, Yunus Tasim berkata, bekalan tepung gandum adalah mencukupi sepanjang tahun 2022 dan belum ada sebarang laporan diterima berhubung insiden keputusan bekalan melibatkan bahan tersebut.

“Bekalan tepung gandum di pasaran adalah stabil ketika ini dan berdasarkan pemantauan oleh 2,200 Penguat Kuasa KPDNHEP di seluruh negara, belum ada laporan diterima yang me­ngatakan bekalan tepung gandum berkurangan di pasaran.

“Juga belum ada laporan ber­kenaan kenaikan harga tepung gandum kegunaan am bersubsidi yang mendadak kerana tepung gandum yang dijual melebihi harga kawalan RM1.35 sekilogram (kg) adalah tepung gandum yang tidak bersubsidi,” katanya ketika dihubungi semalam.

Semalam Kosmo! Ahad semalam melaporkan peruncit dan peniaga kini mula resah apabila pihak pemborong mendakwa bekalan tepung gandum hanya mampu bertahan setakat Julai ini berikutan kekurangan bahan utama untuk diproses di peringkat pengilang

Jelas Yunus, kenaikan harga tepung gandum seperti yang didakwa oleh sesetengah peniaga adalah melibatkan tepung gandum yang tidak bersubsidi di mana harga jualan runcitnya tidak dikawal oleh kerajaan.

“Pengguna boleh mengenali dan membezakan tepung gandum kegunaan am bersubsidi berdasarkan Logo Barang Bersubsidi yang terdapat pada pembungkusan.

“Kerajaan tidak menetapkan atau mengawal harga tepung gandum tidak bersubsidi sebaliknya penetapan harga tepung gandum tidak bersubsidi dibuat oleh pengilang berdasarkan harga komoditi itu di pasaran global,” ujar beliau.

Tambah Yunus, Penguat Kuasa KPDNHEP sentiasa memantau bekalan barangan keperluan di pasaran dan tepung gandum adalah salah satu barangan ke­perluan yang dipantau rapi bagi memastikan bekalannya sentiasa stabil dan mencukupi.

Beliau memaklumkan, kekurangan bekalan di sesuatu premis selalunya disebabkan tingginya permintaan di lokaliti tersebut dan lambatnya sampai bekalan dari stor pusat ke premis berkenaan.

“Pihak KPDNHEP akan membuat siasatan jika melalui pemantauan kami ada peniaga yang mengambil keuntungan di luar batas munasabah atau mencatut atau ada elemen penyorokan.

“Kami juga mengalu-alukan orang ramai membuat aduan yang lengkap dan terus kepada kami melalui aplikasi WhatsApp di 019-279 4317 atau 019-848 8000.

“Ketika buat aduan ambil foto tanda harga, foto premis kedai dan alamatnya, sertakan dalam laporan tersebut,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI