IPOH – Cebisan kain dipercayai daripada sehelai pakaian ditemui pasukan penyelamat dalam operasi mencari dua pendaki dihanyutkan kepala air di kawasan Gunung Suku, Simpang Pulai di sini hari ini.
Timbalan Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Umrani Che Mat berkata, cebisan pakaian berkenaan dijumpai sekitar pukul 1 tengah hari berhampiran lokasi penemuan anggota tubuh manusia dipercayai milik salah seorang mangsa semalam.
Bagaimanapun Umrani berkata, pihaknya belum dapat mengesahkan sama ada cebisan kain tersebut milik mangsa atau sebaliknya.
“Sedia maklum apabila berlaku kejadian sebegini, memang kita akan menemukan cebisan-cebisan seperti pakaian tetapi ia bukan menunjukkan kedudukan sebenar mangsa.
“Bagaimanapun, pasukan penyelamat belum dapat mengesahkannya dan berdasarkan kepada maklumat awal cebisan pakaian itu berkemungkinan sama dengan pakaian seorang daripada mangsa,” katanya ketika ditemui di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Pos Atap Baru di sini, hari ini.
Tambahnya, pihaknya tidak dapat mengenal pasti sama ada cebisan pakaian yang ditemui itu baju atau seluar ekoran keadaannya yang sudah hancur.
Umrani berkata, pencarian pada hari ketiga itu tidak menemui sebarang petunjuk baharu selain daripada cebisan kain tersebut.
Katanya lagi, pasukannya memberi tumpuan kepada kemungkinan petunjuk baru seperti hurungan lalat dan bau melibatkan laluan sejauh 1 kilometer (km) di tempat kejadian dengan gerak kerja yang memerlukan kepada peralatan seperti cangkul dan skop
“Ini kerana pasukan mangsa kemungkinan berada pada kedudukan di bawah lumpur dan juga timbunan kayu yang dibawa kepala air,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE