KUALA LUMPUR – Malaysia hanya mengimport sebahagian kecil bekalan gandum daripada India, jelas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Katanya, rakyat negara ini tidak perlu risau dengan keputusan sekatan gandum yang dilakukan India akibat gelombang haba kerana cuaca panas yang berlaku di sana.
“Malaysia tidak mengimport gandum dari India, sebanyak 80 peratus bijirin itu diimport dari Australia selain Amerika Syarikat, Kanada dan Ukraine.
“Gandum yang kita import bukan dari India tetapi pelbagai negara, kita dapati negara-negara yang kita import tidak mengalami masalah, ” jelasnya ketika sidang akhbar Majlis Salam Aidilfitri 2022 di ibu pejabat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di sini hari ini.
Tambahnya lagi, pihaknya ketika ini tidak menerima sebarang laporan mengenai catuan atau kenaikkan harga bijirin tersebut oleh pihak peniaga di seluruh negara.
“Untuk laporan rasmi buat masa ini tidak ada lagi, cuma ada kes terpencil yang berlaku di Melaka, kementerian akan teruskan pemantauan.
“Pihak kami juga tidak memandang ringan perkara berkenaan sebaliknya mengambil beberapa langkah, antaranya meneruskan aktiviti pemantauan di seluruh negara, ” katanya. – KOSMO! ONLINE.