fbpx

HFMD bahaya jika lambat bertindak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kanak-kanak adalah golongan yang mudah dijangkiti HFMD. – gambar hiasan

PETALING JAYA – Kadar jangkitan kes kaki, tangan dan mulut (HFMD) yang rata-ratanya dialami oleh golongan kanak-kanak boleh seburuk penularan virus Covid-19 jika tidak dibendung segera.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Pakar Epidemiologi, Jabatan Perubatan Kesihatan dan Pencegahan Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Noran Naqiah Hairi berkata, HFMD juga amat mudah berjangkit seperti Covid-19.

“Walaupun risiko kematian akibat penyakit HFMD tidak se­perti Covid-19, tetapi perlu ada usaha untuk memutuskan penularan itu.

“HFMD juga berjangkit melalui titisan pernafasan semasa bercakap atau bersin. Ia juga boleh berjangkit melalui sentuhan pada permukaan yang dicemari virus HFMD,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Kementerian Kesihatan baru-baru ini memaklumkan kes HFMD mencatatkan peningkatan ketara apabila merekodkan sebanyak 28,957 kes di seluruh negara pada Minggu Epid 19/2022 iaitu dari awal tahun ini hingga semalam.

Jumlah itu dilaporkan mening­kat berganda berbanding pada keseluruhan kes HFMD yang direkodkan sepanjang tahun lalu iaitu sebanyak 4,239 kes.

Peningkatan mendadak itu sudah dijangka memandangkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan pada tahun lalu berbanding tahun ini susulan tiada sekatan dikenakan dan sektor pendidikan kembali dibuka.

Noran Naqiah berkata, pelbagai faktor menyebabkan penularan HFMD termasuk musim perayaan Aidilfitri yang menyaksikan aktiviti kunjung-mengunjung dan membawa anak-anak ke tempat orang ramai.

Kata beliau, langkah memutuskan penularan HFMD sama seperti memutuskan jangkitan Covid-19 termasuk mengasingkan anak yang dijangkiti daripada kanak-kanak lain dan kerap mencuci tangan.

“Justeru kepada ibu bapa yang mendapati anak mereka me­ngalami gejala HFMD perlu segera membawa anak mereka mendapatkan rawatan,” katanya.

Sementara itu, Prof. Madya Dr. Nik Daliana Nik Farid juga dari Jabatan Perubatan Kesihatan dan Pencegahan Fakulti Perubatan UM berkata, HFMD dalam kalangan kanak-kanak disebabkan oleh virus yang tergolong dalam keluarga Enterovirus.

Menurut beliau, virus yang bia­sa menyebabkan HFMD adalah Coxsackievirus A16 yang meru­pakan penyebab paling biasa penyakit itu di Amerika Syarikat.

“Coxsackievirus A6 juga boleh menyebabkan HFMD dan gejala mungkin lebih teruk. Enterovirus 71 (EV-A71) dikaitkan dengan kes dan wabak di Asia Timur dan Tenggara. Walau jarang berlaku EV-A71 telah dikaitkan dengan penyakit yang lebih teruk seperti ‘encephalitis’ (bengkak otak),” katanya.

Kata beliau, HFMD yang kebiasaannya dialami kanak-kanak berumur bawah lima tahun selalunya tidak serius, tetapi ia cepat merebak terutama di sekolah dan pusat jagaan.

Tambah beliau, simptom HFMD bermula dengan demam, ruam melepuh pada tangan, kaki, mulut dan lidah dan kanak-kanak dijangkiti boleh mengalami simptom jangkitan saluran pernafasan, muntah, cirit birit dan kurang selera makan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI