PETALING JAYA – Pendakwah bebas, Ebit Lew menyantuni kumpulan mat rempit di ibu negara malam tadi sebagai sebahagian daripada usaha dakwahnya.
Ebit dalam satu hantaran di laman Facebook berkata, beliau bersama pensohor TikTok, Akiem Stopa menunggang motosikal di sekitar Kuala Lumpur untuk mendekati kumpulan berkenaan.
“Malam tadi ‘ride’ motor pusing Kuala Lumpur dengan Akiem Stopa cari anak muda sampai pukul 2 pagi. Baik-baik semuanya. Lembut hati. Bila tengok anak muda bawa motor sana sini kadang orang panggil mat rempit.
“Tapi disebaliknya mereka anak-anak kita, adik-adik kita semuanya. Rajin cari rezeki buat keluarga. Semua baik dengar nasihat. ‘Last’ belanja makan ikan singgang. Semua azam nak ikut tiga hari di jalan Allah belajar iman.
“Pusing dataran Merdeka meriah. Ramai anak muda. Ramai juga bawa keluarga main skuter. Cantik ‘view’ malam-malam,” katanya.
Ebit seterusnya mengingatkan nasib semua orang tidak sama dan melalui ujian hidup berbeza, maka beliau menasihatkan kumpulan yang didekatinya malam tadi supaya tidak berputus asa.
“Siapa tahu rezeki apa Allah sediakan di masa hadapan. Syukur dan hargai hidup kuncinya. Jaga solat. Jaga mak ayah buat mereka tersenyum.
“Insya-Allah hidup adik semua bahagia. Dunia boleh menilai kita. Kita kejar reda Allah. Itulah segalanya. Segalanya milik Allah,” katanya. – KOSMO! ONLINE