fbpx

Berhenti sekat eksport bijirin Ukraine

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mesin penuai gabungan mengumpul bijirin gandum dari sebuah ladang di Mala Divytsa, Chernihiv pada 27 Julai 2015. - AFP

BERLIN, JERMAN – Menteri-Menteri Luar Kumpulan Tujuh (G7) menggesa Russia agar segera menamatkan sekatan laut bagi eksport bijirin Ukraine untuk mengelakkan berlakunya krisis kemanusiaan secara besar-besaran, lapor perkhidmatan berita DW kelmarin.

Tentera Russia telah menyekat bekalan eksport bijirin dari Ukraine di pelabuhan-pelabuhan di Laut Hitam, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai krisis makanan global.

“Perang yang dimulakan oleh Russia telah mengakibatkan berlakunya krisis makanan dan tenaga paling buruk dalam sejarah baru-baru ini.

“Ia kini memberi kesan kepada penduduk dunia,” kata kumpulan menteri tersebut selepas mengadakan sesi pertemuan di Wangles, Jerman.

Ukraine merupakan antara pembekal bijirin utama di dunia. Ia adalah pengeksport barli ketiga terbesar serta pengeksport kelima terbesar bijirin gandum bagi tahun 2021, demikian menurut Organisasi Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Menteri Luar Jerman, Annalena Baerbock yang mempengerusikan mesyuarat tersebut berkata, para pemimpin G7 sedang menilai cara-cara untuk membawa keluar komoditi itu daripada ‘tersekat’ di Ukraine.

“Kira-kira 50 juta penduduk dunia terutamanya di Afrika dan Asia Barat akan berdepan dengan kebuluran. 

“Kita berdepan dengan persoalan utama, iaitu bagaimana penduduk dunia ingin makan? Mereka bertanya apa yang akan berlaku sekiranya tidak mempunyai bijirin yang kebiasaannya diperoleh dari Russia dan Ukraine,” tegas  Baerbock.

Tambah beliau, Russia tidak mengendahkan krisis itu bahkan meneruskan peperangan ke atas Ukraine dengan mengubahnya menjadi ‘perang bijirin’.

“Russia memilih untuk memperluaskan perang ke atas Ukraine atau anda boleh gelarkannya sebagai ‘perang bijirin’ ke atas banyak negara di dunia terutamanya Afrika.

“Ini bukan kemusnahan cagaran. Ia merupakan satu instrumen dalam perang hibrid yang sedang dilancarkan.

“Russia kini sedang mempersiapkan asas bagi krisis baharu yang dicipta untuk melemahkan perpaduan antarabangsa yang menentang peperangan itu,” tegas Baerbock menurut laporan stesen penyiaran Euro News.

Justeru itu, Baerbock berkata, beliau dan rakan-rakan sejawatnya berikrar untuk menyokong Ukraine dalam mengekalkan pengeluaran, penyimpanan, pengangkutan dan pemprosesan pertanian serta memulakan semula eksport.

“Kami berazam untuk mempercepatkan tindak balas pelbagai cara bagi memelihara keselamatan makanan global dan berdiri teguh bersama negara-negara yang terjejas dengan isu ini,” katanya. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI