SEREMBAN – Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan 16 Jun depan bagi tarikh serahan dokumen kes seorang kanak-kanak perempuan dan wanita ditemui mati dalam gaung yang dihadapi oleh seorang peniaga, Khalid Redza Shuib, 41.
Majistret Mohd. Firdaus Salleh dan Norzaliza Tesmin menetapkan tarikh itu selepas pihak pendakwaan memohon satu tarikh baharu untuk serahan dokumen laporan perubatan, kimia dan forensik yang masih belum diperoleh hari ini.
Pada 13 April lalu, Khalid Redza dan anak perempuannya yang masih di bawah umur didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak perempuan, Hanan Hasrul Izwan berusia lima tahun susulan penemuan tengkorak dan cebisan tulang pada 7 April lalu.
Khalid Redza turut didakwa membunuh seorang wanita, Meriamah Abdullah Basam, 29.
Tertuduh sama turut berdepan pertuduhan dengan sengaja menyebakan kecederaan parah ke atas Siti Syarifah Aibiddin, 35, yang mana tertuduh didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan sengaja telah menyebabkan cedera parah kepada Siti Syarifah dengan cara menyimbah air panas sehingga kulit melecur yang boleh didakwa di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Bagi pertuduhan seterusnya, tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan pengabaian ke atas seorang kanak-kanak, Sufiy Hasrul Izwan berusia 20 bulan iaitu kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Pada 7 April lalu, Kosmo! melaporkan penemuan tengkorak, geraham dan cebisan tulang tersebut diperoleh hasil siasatan lanjut ke atas suspek utama kes penemuan mayat tanpa identiti dalam gaung di Jalan Lama Bukit Putus Seremban-Kuala Pilah pada 20 Mac lalu.
Suspek lelaki berusia 41 tahun dan seorang wanita telah dibawa ke kawasan belukar dekat tangki air dan menunjukkan lokasi mayat kanak-kanak itu ditanam. -KOSMO! ONLINE