SHAH ALAM – Seramai 1,387 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor bersiap siaga dalam operasi kebakaran sepanjang musim panas dan kering yang dijangka berlaku sehingga September ini.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, kebakaran yang berlaku ketika cuaca panas kebiasannya melibatkan hutan, kebun, tapak pelupusan sampah haram dan belukar.
Katanya, pihaknya mengenal pasti lokasi berisiko berlaku kebakaran itu antaranya di Johan Setia, Hutan Simpan Kuala Langat Selatan, Ijok dan Bestari Jaya.
“Kesiapsiagaan itu turut meliputi semua aset logistik seperti jentera, kenderaan utiliti, sistem pam dan sumber air di seluruh negeri ini.
“Penyelarasan turut dilakukan bersama Pangkalan Udara Bomba di Subang yang digerakkan bagi memantau lokasi kebakaran menerusi helikopter,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Terdahulu, Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid menyatakan pihaknya telah mengenal pasti beberapa kawasan titik panas berisiko berlaku kebakaran. Selain itu, turut berkolaborasi dengan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) dan agensi berkaitan bagi menkoordinasi pengurusan bencana berskala besar seperti kebakaran hutan dan struktur.
Sehubungan itu, Norazam mengingatkan semua pihak tidak melakukan pembakaran terbuka terutama di kawasan tanah gambut dan tapak pelupusan sampah yang mudah terbakar. -KOSMO!ONLINE