PETALING JAYA – The Danna Langkawi menawarkan pengalaman percutian serba mewah di vila peribadi pantai yang eksklusif lagi mendamaikan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, vila persendirian yang berkeluasan dari 490 meter pesegi hingga 1,080 meter persegi itu adalah saiz bilik yang lebih luas dan terbesar di Langkawi.
Bagi kategori ini, ia menawarkan sembilan unit vila dengan satu bilik tidur yang bersesuaian untuk empat dewasa atau dua dewasa dengan dua kanak-kanak.
Manakala satu unit vila dengan dua bilik tidur pula bersesuaian untuk keluarga yang memiliki empat orang dewasa serta dua kanak-kanak.
Tambah kenyataan itu, setiap vila memiliki kolam renang infiniti peribadi, kerusi berjemur serta kemudahan terapi spa peribadi dengan bilik serta ruang makan yang eksklusif.
Lebih menarik, ia turut menawarkan kemudahan produk mandian berjenama Salvatore Ferragamo bagi menawarkan pengalaman kelas mewah kepada tetamu.
“Vila pantai Princess Beach Villa dan Empress Beach Villa ini terletak di sepanjang pantai yang terpencil di Pantai Kok dan menghadap ke Laut Andaman serta lokasinya juga berada di bersebelahan dengan resort utama,” katanya.
Kemudahan lain seperti linen mewah, televisyen pintar bersaiz 65 inci dengan akses Netflix dan YouTube tanpa had, iPad, dok iPod, sistem audio Bluetooth selain tab mandi dan bar mini percuma diisi semula setiap hari itu, pastinya meninggalkan kenangan menarik buat tetamu sehingga mereka mahu kembali bercuti lagi pada masa depan.
Selain itu, tetamu The Danna Langkawi juga boleh menikmati sarapan atau minuman petang secara privasi di vila masing-masing atau makan malam ala BBQ peribadi di atas dek penginapan mereka. -KOSMO! ONLINE