fbpx

Tandak Lebaran kemunculan semula Haziq AF

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAZIQ dan Meera kini berduet menerusi lagu berjudul Tanjak Lebaran.

AGAK lama tidak mendengar khabar berita penyanyi yang pernah menjadi peserta program realiti Akademi Fantasia musim keempat (AF4) iaitu Haziq.

Sunyi daripada perhatian, bahkan lama tidak muncul menghiasi ruang industri hiburan menerusi televisyen, penyanyi itu sebenarnya bergerak aktif menyanyi dalam media sosial seperti TikTok. Akuinya, masih ramai dalam kalangan khalayak, khususnya pelayar TikTok yang meminati irama tradisional.

Kerap menyampaikan lagu-lagu irama Melayu, kemerduan dan kelunakan vokal pemilik nama sebenar Hazwan Haziq Rosebi itu beri jolokan kembar seiras kepada Allahyarham Datuk Ahmad Jais.

Tidak sahaja media sosial, penyanyi berusia 34 tahun itu giat membuat persembahan seperti menghiburkan majlis makan malam serta majlis perkahwinan.

Selepas dua tahun menjadi antara insan yang terkesan dek pandemik, Haziq tidak mengalah dalam meneruskan kelangsungan karier seninya dengan merakamkan sebuah lagu raya berjudul Tandak Lebaran bersama label Buana Rama Records.

Nyanyian Haziq dalam lagu berkenaan turut diperindahkan dengan paduan suara seorang guru muzik dari Utara tanah air, Cikgu Meera atau mesra disapa Meera.

Bagi Haziq, peluang yang diberikan pihak syarikat Buana Rama kepadanya sebagai satu perkara yang perlu disyukurinya.

Malah, dia berharap agar lagu Tandak Lebaran kekal malar segar dan menjadi siulan orang ramai pada masa akan datang.

“Saya nak lagu ini akan jadi hit bukan hanya setahun atau dua, malah sepanjang zaman. Saya mendoakan agar lagu ini memberi manfaat kepada semua yang mendengar,” katanya.

KEMERDUAN suara Haziq yang sering menyanyikan lagu irama tradisional mendapat pujian dan perhatian peminat khususnya dalam TikTok.

Untuk informasi, Meera yang berusia 30 tahun bukan hanya bekerja sebagai tenaga pengajar tetapi dia turut berkebolehan dalam bidang nyanyian.

Wanita itu pernah menyertai pertandingan syair antarabangsa di Indonesia dan secara langsung bersama Jabatan Kebudayaan Kesenian Negara (JKKN) Perak.

“Saya rasa seronok menyanyikan lagu ini apatah lagi dapat bergandingan dengan Haziq meskipun terpaksa menempuhi cabaran turun ke Melaka dari Kedah.

“Tetapi semuanya berjalan lancar tambahan pula Haziq seorang yang ceria,” ujarnya.

Tandak Lebaran merupakan ciptaan Fauzi Mohammad yang juga merupakan pemuzik hebat dari Melaka dan bertugas di Briged Seni Melaka, manakala lirik pula ditulis Siso Kopratasa.

Berkebolehan bermain pelbagai alat muzik, Fauzi menggunakan kelebihan untuk meneruskan legasi lagu-lagu tradisional.

Selain Tandak Lebaran, Fauzi juga merupakan komposer bagi lagu Senandung Anak Melaka nyanyian Yasser Fikri dan Tambatan Jiwa (Khaliza Putri dan Nabila).

Menurut Siso, lagu Tandak Lebaran agak berbeza kerana turut diselitkan dengan isu pandemik, endemik dan ekonomi semasa dalam penceritaan.
Video muzik Tandak Lebaran kini boleh ditonton menerusi YouTube Buana Rama Records.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI