PETALING JAYA- Polis akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan dua pemilik akaun TikTok yang mendakwa terlibat kemalangan dengan kenderaan polis yang sedang mengiringi orang kenamaan di hadapan pusat beli-belah Pavilion di ibu negara kelmarin.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan (JSPT) Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh berkata, pihaknya mengesahkan kejadian tersebut yang dilaporkan berlaku pada pukul 11 malam, 14 Mei lalu.
“Kedua-dua pemandu kenderaan yang terlibat telah tampil membuat laporan polis dan satu siasatan sedang dijalankan.
“JSPT Kuala Lumpur juga meminta kerjasama saksi yang melihat kejadian tersebut untuk hadir ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur bagi tujuan membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Jelasnya, orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan ataupun maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Terdahulu, pengguna TikTok tersebut mendakwa telah dilanggar anggota polis yang memandu Proton X70 di hadapan Pavilion ketika mengiringi orang kenamaan.
Katanya, polis tersebut meminta orang ramai untuk memberi laluan di jalan yang sesak namun dikatakan tidak sabar hingga melanggar kenderaan orang awam. -KOSMO! ONLINE