ALOR SETAR – Pekan Kuala Kedah termasuk kawasan Terminal Feri Kuala Kedah di sini dilanda banjir kilat ekoran hujan lebat dan air pasang pada tengah hari tadi.
Kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu mengakibatkan jalan utama dan kawasan letak kenderaan di terminal feri dinaiki air.
Tinjauan mendapati, penumpang feri yang baru tiba dari Pulau Langkawi terpaksa meredah air sehingga paras betis sejauh 600 meter untuk mengambil kenderaan masing-masing.
Pelancong, Izzati Zaini, 25, dari Pulau Pinang berkata, dia dan kawannya, Aishah Johari, 25, terpaksa meredah air sambil membawa beg pakaian serta barangan lain dari jeti ke tempat letak kenderaan.
“Semasa dalam bot pun kami sudah dapat rasa ombak kuat sehingga menyebabkan saya rasa pening.
“Sebaik sampai di jeti, kami terkejut melihat kejadian banjir dan air pasang sudah melimpah di sebahagian kawasan letak kereta,” katanya di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE