Kejayaan Ervin Chang menghadiahkan emas dalam sukan golf kepada Malaysia pada Sukan Sea Hanoi merupakan perkembangan yang sangat baik sejak kali terakhir memenanginya 21 tahun yang lalu.
Presiden Persatuan Golf Junior Malaysia Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim mengakui bahawa ia adalah bukti bahawa sukan golf di Malaysia mampu berkembang dan mempunyai potensi yang cukup tinggi terutamanya pada generasi muda Malaysia.
Menurutnya, selain menjadi pembakar semangat kepada semua pemain golf, kelab-kelab golf juga seharusnya beriltizam dan saling melengkapi antara satu sama lain terutamanya dalam pengurusan dan kemudahan yang terbaik buat para pemain.
“Saya percaya Persatuan Golf Malaysia (MGA) yang diterajui oleh Tan Sri Datuk Mohd Anwar Mohd Nor telah memainkan peranan yang baik. Kesinambungan ini harus dilihat agar semua kelab–kelab golf dapat berusaha dengan gigih untuk melahirkan pemain-pemain muda seperti Ervin.
“Sukan golf harus dilihat melalui perspektif sukan dan bukannya secara eksklusif, malah sukan golf harus menjadi satu budaya sukan untuk semua peringkat.
“Saya selaku Presiden MGJA juga pernah menekankan objektif kami seperti mempromosikan sukan golf kepada anak muda dan mencungkil serta mengasah bakat mereka hingga ke peringkat antarabangsa melalui kerjasama latihan dengan institusi pengajian awam serta swasta,” katanya.
Tambahnya, bakat seharusnya dicungkil, diasah dan digilap dengan minat serta kerjasama daripada kelab golf mampu membawa seseorang pemain golf itu dari peringkat amatur sehinggalah ke tahap profesional.
“Sudah tiba masanya, sukan golf ini menjadi lebih inklusif agar minat serta pendedahan kepada rakyat dapat didekatkan,” jelasnya.
Kelmarin, Ervin melakar kejutan apabila berjaya menewaskan pencabarnya dari Indonesia, Amadeus Christian Susanto pada aksi playoff tiga lubang untuk merangkul pingat emas acara individu.
Kali terakhir kontinjen negara meraih emas Sukan SEA acara golf adalah menerusi kuartet lelaki, Airil Rizman Zahari, S Sivachandhran, Shaaban Hussin dan Sahal Saedin dalam acara berpasukan lelaki di Sukan SEA Kuala Lumpur 2001. – KOSMO! ONLINE