HANOI – Nor Sarah Adi mengakui bagaikan mimpi selepas berjaya menjelmakan pingat emas ke-19 kontinjen negara di Sukan SEA Vietnam 2021 dalam acara lompat bergalah wanita yang berlangsung di Stadium My Dinh, sebentar tadi.
Atlet dari Pahang itu berusia 22 tahun itu berkata, emas dalam acara lompat bergalah sama sekali tidak dijangka memandangkan dirinya ke Hanoi untuk menyertai acara 4×100 meter (m).
Bagaimanapun, pujian harus diberikan kepada Nor Sarah kerana berjaya memperbaharui rekod peribadi pada temasya dwitahuan tersebut.
“Jika diikutkan saya layak untuk 4x100m tetapi menerima peluang untuk menyertai acara lompat bergalah.
“Tentunya peluang sebegini tidak selalu dapat dan saya mahu menjanjikan yang terbaik walaupun berdepan kekangan masa untuk menjalani latihan.
“Perjalanan saya ke Hanoi bukan mudah kerana saya mengalami kecederaan belakang pada minggu lalu namun Alhamdulillah segalanya sudah diatur sebaiknya.
“Saya tak fikir lain sebaik tiba di Hanli dan hanya melakukan yang terbaik juga. Syukur dapat melakukan lompatan 4m sekali gus memperbaiki catatan peribadi terbaik saya. Saya juga rasa seperti bermimpi apabila memenangi pingat emas ini,” katanya.
Dalam pada itu, Sarah turut membantu kuartet 4x100m wanita yang disertai S. Komalam Shally, Zaidatul Husniah Zulkifli dan Azreen Nabila Alias meraih gangsa dengan catatan 45.32s.
Emas dimenangi Thailand dengan catatan 44.39s manakala perak diraih tuan rumah, Vietnam, 45.25s.
Dalam pada itu, Sarah turut membantu kuartet 4x100m wanita yang disertai S Komalam Shally, Zaidatul Husniah Zulkifli dan Azreen Nabila Alias meraih gangsa dengan catatan 45.32s.
Emas dimenangi Thailand dengan catatan 44.39s manakala perak diraih tuan rumah, Vietnam, 45.25s.
Kuartet 4x100m lelaki disertai Muhammad Arsyad Md. Saat, Muhammad Zulfiqar Ismail, Muhammad Azeem Mohd. Fahmi dan Muhammad Haiqal Hanafi pula mengekalkan perak yang diraih di Filipina 2019 dengan catatan 39.09.
Pada saingan tersebut, Thailand memenangi emas, 38.58s. Gangsa diraih Singapura 39.44s.
Lebih manis, kuartet lelaki turut berjaya melebur rekod kebangsaan yang dicatat pada Sukan SEA 2017 dengan catatan 39.27s. KOSMO! ONLINE.