Saudara pengarang,
Isu kematian doktor pelatih di Pulau Pinang tular di media sosial berjaya menarik perhatian banyak pihak.
Pelbagai teori dan tanggapan netizen tular dan media sosial menjadi medan perbahasan dengan puluhan teori pelbagai pihak yang bersungguh-sungguh menyatakan pendapat masing-masing.
Apabila mengamati isu ini dari sudut literasi media dan maklumat, terdapat dua perkara yang menimbulkan persoalan.
Pertama, adakah pendapat, perkongsian dan ciapan netizen benar-benar mewakili suara semua doktor pelatih di Malaysia atau pun sebenarnya ia suatu bentuk generalisasi dan stereotaip terhadap fraterniti perubatan yang perlu diselidiki dengan lebih lanjut?
Kedua, adakah pembaca dan pengguna media sosial disajikan dengan maklumat yang adil, iaitu suara dan pendapat kedua-dua doktor pelatih yang dikatakan dibuli dan doktor pakar yang dituduh sebagai pembuli?
Algaritma membuatkan pengguna media sosial terperangkap dalam suatu gelembung maklumat berdasarkan akaun media sosial yang diikuti, laman web yang lazim dilawati dan klik terhadap pautan tertentu.
Ini membuatkan mereka mudah terpengaruh dan percaya dengan tuntutan satu pihak tertentu sahaja tanpa usul periksa kerana hanya terdedah kepada maklumat yang besar dan kemungkinan berat sebelah akibat telah disisih mengikut algoritma tersebut.
Ini amat membimbangkan kerana netizen yang terlalu mengikut emosi mempunyai potensi untuk menjadi troll, laskar siber dan pembuli siber.
Pada hemat saya, penting bagi netizen, terutamanya yang tidak mempunyai kepakaran atau pengalaman dalam bidang tertentu untuk lebih berfikiran kritis apabila berdepan dengan isu-isu tular seperti kes doktor pelatih dibuli.
Pandangan daripada semua pihak yang terlibat perlu diambil kira, sebelum kita mula membuat sebarang keputusan tentang sesuatu isu.
Selain itu, suatu ruang perlu diberi agar kerajaan dapat menjalankan penyelidikan yang konklusif dengan saiz sampel yang mewakili keseluruhan populasi doktor pelatih untuk benar-benar mengenal pasti tekanan-tekanan yang dihadapi yang mempengaruhi kepuasan bekerja melibatkan para doktor pelatih.
Prof. Madya Dr. Sabariah Mohamed Salleh
Ketua kluster penyelidikan media Universiti Kebangsaan Malaysia