KUALA PERLIS – Sebahagian kawasan di Kuala Perlis di sini turut dilanda banjir kilat akibat hujan lebat dan fenomena air pasang tengah hari tadi.
Kejadian antaranya melibatkan Lebuhraya Kuala Perlis-Changlun berhampiran lampu isyarat antara Kuala Perlis dan Kurong Tengar.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) negeri, Leftenan Kolonel (PA) Mohd. Izaimi Md. Daud berkata, fenomena air pasang adalah perkara biasa yang berlaku di Kuala Perlis.
Katanya, paras air laut naik melebihi paras biasa kurang tiga meter hari ini.
“Air naik pada paras 3.4 meter pada pukul 12 tengah hari tadi dan kekal paras tiga meter ke atas selama tiga jam sebelum mula surut kepada 2.6 meter pada pukul 3 petang.
“Walau bagaimanapun, fenomena air pasang melebihi tiga meter biasa berlaku di Kuala Perlis beberapa kali dalam sebulan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE.