IPOH – Ramai peminat telefon pintar berjenama iPhone berlumba-lumba untuk memiliki peranti idaman itu sehingga berani membelinya di media sosial kerana ia dijual lebih murah berbanding melalui pengedar yang sah.
Ditambah pula dengan keterujaan untuk bergaya ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri, menyebabkan ramai pengguna yang tidak berfikir panjang asalkan keinginan mereka untuk memiliki telefon idaman akan tercapai.
Pelbagai tawaran menarik dapat dilihat menerusi media sosial seperti Telegram dan Instagram. Ia semakin rancak ketika ramai yang membuat pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja sehingga RM10,000.
Bagaimanapun, malangnya kebanyakan pembeli menjadi mangsa penipuan scammer dan tidak kurang juga menerima peranti klon.
Seorang mangsa yang mahu dikenali sebagai Syukur, 20, berkata, dia adalah antara peminat iPhone yang terperdaya dengan peranti itu yang dijual murah di media sosial.
Dia yang bekerja sebagai pembantu di sebuah kedai serbaneka memberitahu menghubungi penjual iPhone menerusi WhatsApp dan ditawarkan harga RM700 sahaja bagi model iPhone 12 Pro Max berbanding harga sebenar iaitu RM3,849.
“Saya melihat iklan itu dipamerkan dalam laman sosial Instagram sebelum bulan puasa lalu dan selama ini memang inginkan telefon baharu untuk bergaya semasa raya.
“Semasa saya menghubungi penjual terbabit, lelaki terbabit bersungguh-sungguh mengatakan iPhone tersebut adalah asli dan merupakan model terpakai yang diimport dari Singapura,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Syukur berkata, penjual itu juga mendakwa harga tersebut adalah promosi dan hanya ditawarkan kepada empat pembeli terawal sempena musim perayaan.
“Dia kata saya hanya perlu buat bayaran penuh dan saya adalah pelanggan yang terakhir. Jika saya tolak, dia akan tawarkan kepada pembeli lain.
“Tanpa fikir panjang dan tidak mahu terlepas peluang, saya terus membuat bayaran secara online termasuk RM300 untuk insurans, menjadikan RM1,000 kesemuanya,” ujar Syukur.
Seminggu kemudian, penjual terbabit mula berdolak-dalih apabila Syukur bertanyakan tentang pesanan tersebut yang masih belum sampai.
“Saya kemudian bertanya lagi tentang masalah ini kepada penjual terbabit sebelum nombor telefon saya disekatnya.
“Akhirnya, Syukur pasrah dan enggan melaporkan perkara tersebut kepada mana-mana pihak kerana tindakan itu tidak akan mengembalikan wangnya yang sudah lesap,” katanya.
Sementara itu, menerusi perbualan wartawan Kosmo! yang menyamar sebagai pembeli dengan seorang penjual iPhone dalam talian, individu bernama Jay itu memberitahu, dia kononnya menjual model khas iPhone yang dipasang di negara ini.
Harga yang dijual Jay adalah serendah RM1,000 bagi model iPhone 13 (128GB), manakala RM1,500 untuk iPhone Pro Max (256GB), jauh lebih murah berbanding harga sebenar seperti iPhone 13 Pro Max (256GB) yang dijual RM5,799.
“Ini bukan set terpakai atau refurbished, tetapi set original iPhone. Kita hanya jual iPhone set Malaysia, jadi sebab itu harganya istimewa. Semua set telefon diberi jaminan antarabangsa selama setahun, jadi pembeli tak perlu risau.
“Disebabkan harga istimewa ini, maka set yang dijual terhad berdasarkan siapa cepat dia dapat. Semua urusan akan diproses selepas pelanggan membuat bayaran penuh,” ujarnya.
Jay memberitahu, urusan penghantaran kononya dilakukan sepenuhnya oleh pihak Apple di Kuala Lumpur, manakala syarikatnya selaku ejen pemasaran.
Apa yang musykil, lelaki itu tidak menyatakan keadaan sebenar iPhone yang dijual, sebaliknya hanya menunjukkan gambar yang diambil di premis orang lain.
Dalam pada itu, penasihat jualan kedai jualan iPhone, Perut.Ipoh-Tech Specialist, Arif Fitri Mursalim memberitahu, tiada telefon pintar berjenama iPhone yang original dapat dijual pada harga yang sangat murah kecuali klon atau penjual terbabit adalah scammer.
Katanya, set terpakai pun harganya masih mahal.
“Orang ramai boleh melakukan beberapa langkah untuk mengelakkan daripada diperdaya penjual iPhone palsu. Langkah paling mudah dengan meminta penjual online tersebut menunjukkan gambar dirinya bersama telefon yang dijual sebagai bukti. Langkah kedua, pelanggan perlu mendapatkan nombor siri atau nombor IMEI untuk membuat semakan,” jelasnya.