BACHOK – Sekolah-sekolah di Kelantan kini berdepan masalah kekurangan guru bahasa Inggeris selepas ramai guru opsyen pendidikan islam yang mengajar dan ditempatkan di negeri ini.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, berdasarkan data terkini, sekolah kebangsaan di Kelantan mengalami kekurangan sebanyak 450 orang guru manakala lebih 200 orang di sekolah menengah.
Menurutnya, kekurangan guru-guru itu disebabkan oleh lambakan guru pendidikan islam yang bertugas di Kelantan ketika ini.
“Guru bahasa Inggeris tidak dapat ditempatkan di Kelantan selepas kapasiti guru di negeri ini sudah mencecah tahap maksimum iaitu 29,000 orang.
“Akan ada kekosongan akibat guru bersara, berhenti dan pembukaan sekolah baharu namun, tenaga pengajar yang paling ramai yang mahu berpindah ke Kelantan adalah guru pendidikan islam.
“Disebabkan masalah itu, murid-murid kita tidak mendapat akses untuk mata pelajaran bahasa Inggeris dengan baik. Ini kerana, mata pelajaran itu memerlukan kemahiran teknikal tertentu dan latar belakang guru tersebut dalam bahasa Inggeris,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-51 Tahun 2022 di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Nor Zamani Abdol Hamid dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Teknologi Maklumat negeri, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan.
Mengulas lanjut, menurut Radzi, kekurangan guru bahasa Inggeris di Kelantan merupakan kisah lama dan KPM kini sedang mengambil kira aspek tertentu dalam hal tersebut dengan mengambil kira impak yang diterima oleh murid-murid.
Katanya, selain Kelantan, terdapat negeri-negeri lain yang kekurangan guru mata pelajaran tertentu dan pihaknya sedang mengatasi masalah tersebut ketika ini. – KOSMO! ONLINE