PETALING JAYA – Menghasilkan produk berinovatif dengan memiliki keunikan tersendiri berbanding produk pesaing bagi tujuan memenuhi gaya hidup masyarakat menjadi impian dan harapan ramai usahawan.
Untuk merealisasikan misi tersebut, mereka sanggup mengambil masa mencari idea, membuat kajian, melabur modal dan menjalankan aktiviti pemasaran secara besar-besaran.
Inisiatif tersebut telah menjadi pemangkin kepada usahawan yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah yang kini berjaya mengukuhkan jenama produk minuman bertenaganya, Eureka Drinks sehingga menjadi sebutan ramai khususnya di Sabah dan Sarawak sejak mula diperkenalkan di pasaran pada suku pertama 2020.
Fadzrul Dullie, 43, yang berpengalaman dalam bidang teknologi dan pembangunan aplikasi, tidak menyangka bahawa ideanya untuk menghasilkan produk minuman bertenaga berinovatif yang lebih sihat seiring kesedaran masyarakat terhadap perubahan hidup ke arah lebih bermanfaat membuahkan hasil.
Melalui syarikat Beta Maju Sdn. Bhd. (Beta Maju), ia menawarkan minuman enak yang mengandungi campuran nootropik iaitu yang pertama seumpamanya diperkenalkan di Malaysia.
Nootropik adalah ekstrak daripada bahan semua jadi 100 peratus berasaskan tumbuhan dan memiliki khasiat makanan tambahan serta ‘vitamin pintar’ yang mampu meningkatkan fungsi kognitif, terutamanya fungsi eksekutif, fokus, memori, kreativiti dan motivasi.
Menurut Fadzrul, Eureka Drinks yang bebas berkarbonat dan rendah kalori itu memberi pengalaman menarik buat pelanggan.
Ini kerana ujarnya, mereka akan rasa lebih bertenaga bukan kerana kandungan gula yang terdapat dalam minuman tersebut, tetapi daripada ekstrak nootropik itu sendiri.
“Maka ia amat bersesuaian untuk golongan yang suka menjaga kesihatan dan aktif bersukan, tetapi sentiasa menekankan aspek pengurangan gula dalam kehidupan masing-masing,” katanya dalam satu temu bual secara maya baru-baru ini.
Fadzrul menerangkan, melalui khasiat bahan semula jadi itu, syarikat telah mengeluarkan empat rangkaian produk yang kini telah mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan.
Ia terdiri daripada Alert + Awake Energy Can, Alert + Awake Energy Shot dan Alert + Awake Xpresshot.
Selain memberi tenaga semula jadi kepada pelanggan, produk syarikat iaitu Dream Aid Sleep Shot pula dapat membantu pelanggan mudah tidur dalam keadaan yang tenang dan merehatkan minda.
Semua produk minuman tersebut telah dipasarkan secara meluas di pasaran Sabah dan juga Sarawak termasuk berjaya menembusi negara jiran seperti di Brunei dan Indonesia serta di Dubai, Emeriyah Arab Bersatu.
Buat masa ini, minuman tersebut dijual di 500 rangkaian pasar raya besar dan pasar mini termasuk rangkaian stesen minyak MyMesra Petronas Dagangan, 400 outlet kedai serbaneka seperti KK Mart dan 7Eleven serta lebih daripada 3,000 kedai runcit.
“Produk minuman ini akan diperluaskan pasarannya ke Semenanjung bermula pertengahan tahun ini dalam usaha melonjakkan jualan, selain mengukuhkan jenama,” ujarnya.
Fadzrul berkata, sokongan daripada agensi kerajaan melalui platform Digital Halal Development Corporation, Halal Integrated Platform (HIP) turut membantu menaikkan lagi jenama Eureka Drinks dalam kalangan pembekal dan pengguna melalui program usahawan yang dijalankan HIP.
“Pada awal operasi syarikat, kami memberi tumpuan untuk mempromosikan jenama, kelainan dan keunikan produk kepada umum.
“Ini kerana, ia penting bagi meningkatkan kesedaran mereka bahawa Eureka Drinks bukan minuman berkarbonat dan gula tidak menjadikan mereka lebih bertenaga, sebaliknya daripada nootropik.
“Sebab itu, sesiapa sahaja boleh mengambil air minuman ini kerana ia kurang gula dan kurang kalori sehingga boleh menjejaskan kesihatan mereka yang ada penyakit diabetes atau lain-lain,” jelasnya.
Selain itu, syarikat juga menerima testimoni yang baik daripada pasaran khususnya bagi mereka yang sukar tidur.
“Kami hasilkan minuman berinovatif Dream Aid Sleep Shot bertujuan untuk membantu memberi ketenangan dan mengurangkan tekanan sehingga membolehkan seseorang itu terlena bagi mendapatkan tidur yang lebih berkualiti.
Mengulas lanjut mengenai perancangan masa depan syarikat, produk Eureka Drinks yang telah mendapat pensijilan halal itu mahu meluaskan lagi pasaran eksportnya memandangkan tiada lagi minuman seumpama itu dipasarkan di peringkat antarabangsa.
Selain itu, Beta Maju juga mahu menambah kategori minuman baharu secara berperingkat di pasaran bagi memenuhi permintaan pelanggan. -KOSMO! ONLINE