KERINDUAN peminat menyaksikan aura pelakon kacak Kim Jung-hyun dalam televisyen terlerai selepas dia disahkan akan muncul dengan sebuah drama baharu tidak lama lagi.
Berita tersebut dikongsikan agensi Jung-hyun, Story J Company yang memberitahu, aktor itu akan membintangi sebuah drama berjudul Season of Kkok Du.
“Kim Jung-hyun sedang meneliti tentang tawaran drama tersebut,” katanya ringkas.
Naskhah berkenaan merupakan drama fantasi berkisar tentang malaikat maut kelas atasan bernama Kkok Du yang hanya wujud di alam ghaib.
Selepas 99 tahun, Kkok Du yang kejam dan dingin perlu berehat dan menghabiskan masa selama 49 hari di dunia nyata dengan menumpang jasad seorang manusia bernama Do Jin-woo.
Ini menyaksikan kemunculan terkini Jung-hyun selepas kali terakhir dia berlakon dalam drama Mr. Queen pada 2020.
Awal tahun ini, Jung-hyun pernah terlibat dalam sebuah filem indie selepas kembali aktif berlakon susulan kontroversi membabitkan kontrak bersama bekas agensi, kelakuan dinginnya ketika di set penggambaran drama Time (2018) serta hubungan cintanya bersama aktres Seo Ye-ji.