LONDON – Setiausaha Perniagaan Britain, Kwasi Kwarteng menyokong gesaan Perdana Menteri Boris Johnson untuk menamatkan budaya bekerja dari rumah, lapor portal berita MailOnline, semalam.
Kwarteng berkata, bekerja di rumah terlalu lama menyebabkan kakitangan kurang motivasi, terlalu selesa dan menjejaskan kualiti pekerjaan.
“Antara isu paling jelas adalah daya tumpuan dan fokus kita ketika bekerja di rumah dan di pejabat adalah tidak sama.
“Saya fikir itu adalah perkara yang munasabah untuk dikatakan kerana ramai orang turut berpendapat mereka bekerja lebih baik di pejabat,” kata Kwarteng.
Johnson sebelum ini mengakui beliau sendiri agak bergelut ketika bekerja dari rumah ketika pelaksanaan perintah berkurung akibat Covid-19.
Beliau menerangkan bagaimana dirinya menghabiskan banyak masa dengan membancuh secawan kopi, mengunyah kepingan keju dan akhirnya terlupa senarai pekerjaan sebenar yang perlu diselesaikan pada hari itu. – Agensi