PADANG BESAR – Pengusaha stesen minyak terutama di kawasan sempadan negara diminta supaya sentiasa peka dengan kenderaan asing yang cuba mengisi minyak petrol RON 95 di premis masing-masing.
Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Mohd. Yusof berkata, penjualan petrol bersubsidi itu merupakan kesalahan yang tidak sepatutnya dilakukan pengusaha stesen minyak.
“Pengusaha stesen minyak perlu sentiasa peka dengan cubaan kenderaan asing menggunakan petrol bersubsidi.
“Ini kerana yang menjadi mata dan telinga bukan sahaja penguat kuasa tetapi juga orang awam,” katanya ketika ditemui di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar di sini hari ini.
Jelasnya, tindakan tegas akan diambil ke atas pengusaha stesen minyak yang didapati menjual petrol RON 95 kepada kenderaan asing.
“Apabila kami dapat gambar-gambar ada kenderaan (asing) yang melakukan kesalahan ini, tindakan akan diambil kepada stesen terlibat,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau memberitahu, pihaknya juga bercadang untuk meletakkan notis peringatan berkenaan penggunaan petrol RON95 hanya untuk rakyat negara ini di pintu masuk sempadan negara. – KOSMO! ONLINE