fbpx

Penat jadi ibu tapi Anzalna puas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANZALNA NASIR

BENAR dirinya dikenali dengan perwatakan lemah lembut, setiap butir kata yang terpacul keluar dari bibir pemilik nama pentas Anzalna Nasir itu sentiasa tersusun elok.

Gaya percakapan Anzalna sendiri sudah cukup menggambarkan dirinya seorang yang bersopan santun.

Sedang menunggu hari menantikan kelahiran cahaya mata keduanya tidak lama lagi, pemilik nama lengkap Nur Anzalna Mohd. Nasir itu mengakui teruja dan tidak sabar untuk mendakap erat bayinya nanti.

Berkongsi pengalaman kehamilan anak kedua kepada Pose, selebriti berusia 34 tahun itu tidak mengalami masalah berat ketika hamil, kecuali terpaksa membawa saiz kandungan yang agak besar berbanding sewaktu mengandungkan anak sulungnya, Mohamad Eidrees.

Anzalna mengakui cepat berasa penat memandangkan kandungannya agak besar berbanding dahulu.

“Tidak banyak perbezaan pun dengan kehamilan sebelum ini. Perbezaannya cuma kandungan saya kali ini agak besar.

“Jadi saya cepat penat ditambah perlu menguruskan Eidrees yang masih memerlukan perhatian kerana dia juga masih kecil,” katanya.

SEDANG menghitung hari, Anzalna berharap anak keduanya nanti akan berkongsi tarikh kelahiran yang sama dengan si abang, anak sulungnya Eidrees iaitu pada 31 Mei.

Ujar bintang drama bersiri Memori Cinta Suraya itu lagi, tugas mendidik dan menjaga Eidrees juga dilakukan sendiri tanpa mengharapkan bantuan daripada pengasuh.

Dia enggan anak sulungnya dijaga pengasuh kerana mahu memainkan peranan sepenuhnya sebagai seorang ibu yang membesarkan anak-anak.

“Walaupun dalam keadaan sedang sarat hamil, saya masih menguruskan anak yang dijaga sepenuhnya tanpa pengasuh.

“Saya ada pembantu, tapi tugasnya hanya menguruskan kebersihan rumah.

“Cuma sekarang ini pembantu saya sedang bercuti, jadi kerja-kerja menguruskan rumah saya yang lakukan. Walaupun penat, tetapi saya gembira dengan apa yang saya buat. Ini merupakan pengalaman indah bergelar seorang ibu,” kata Anzalna yang sebelum ini berjanji akan membesarkan dan mendidik anak-anak sepenuh perhatian di depan mata.

Disoal tentang jangkaan kelahiran bayi keduanya nanti, kakak kepada pelakon Afifah Nasir itu menyimpan harapan jika bayinya nanti dapat berkongsi tarikh kelahiran yang sama dengan Eidrees iaitu pada 31 Mei.

“Kalau ikutkan, saya mahu bersalin pada 31 Mei nanti. Dapatlah si adik berkongsi tarikh lahir yang sama dengan abangnya (Eidrees). Tapi apa-apa pun, saya tengok keadaan dulu,” katanya.

PELAKON cantik ini bersyukur kerana dikurniakan seorang suami yang banyak membantu menguruskan anak.

Dari segi persediaan untuk menimang cahaya mata kedua, Anzalna dan suami telah menyediakan 100 peratus kelengkapan bayi yang baharu, memandangkan barang-barang ketika menyambut kelahiran Eidrees sudah diberikan kepada orang lain.

Bersyukur dikurniakan suami, Muhamad Hanif Muhamad Zaki yang penyabar dan banyak membantu di rumah, Anzalna berkata, suaminya akan bergilir-gilir menjaga Eidrees jika keadaan dirinya tidak mengizinkan.

“Alhamdulillah suami juga banyak membantu saya di rumah. Saya bersyukur dikurniakan seorang suami yang bertanggungjawab dan sentiasa memahami keadaan isterinya,” kata Anzalna.

Sekadar mengusik untuk berkongsi tip keharmonian rumah tangga, Anzalna berkata, perkara paling penting dalam kehidupan sebagai suami isteri adalah perlu saling memahami.

Biarpun mengakui bukanlah individu yang layak untuk berkongsi rahsia hubungan rumah tangga, namun Anzalna percaya kunci kebahagiaan dalam perkahwinan terletak pada sikap pasangan itu sendiri.

“Apa yang penting perlu saling memahami. Alhamdulillah saya dan suami banyak saling bantu-membantu terutama bab menjaga anak. Apa yang kami lakukan selalunya bersama.

“Kalau suami nampak saya penat, dia akan ambil alih menguruskan anak, bukannya lepas tangan. Perkara kedua ialah saling mempercayai antara satu sama lain.

“Kami jarang berbalah. Jika ada salah faham sekali pun, sekejap sahaja sebab kami tidak mahu perkara itu berlarutan,” ujar Anzalna yang juga selalu berdoa supaya rumah tangga dibina bersama suami tercinta kekal sehingga ke akhir hayat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI