SEBERANG PERAI – Seorang pelajar tingkatan empat terbunuh selepas motosikal ditungganginya terbabit kemalangan dengan tiga buah kereta di Kilometer 11.9 Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth arah Sungai Dua dekat Butterworth di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu, mangsa berusia 16 tahun maut di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan parah pada kepala selepas dilanggar beberapa kali.
Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad berkata, kejadian berlaku ketika motosikal ditunggangi mangsa datang dari arah Bagan Ajam menghala Sungai Dua.
“Ketika sampai di lokasi kejadian, motosikal terbabit telah menukar haluan dari lorong kiri ke lorong kanan menyebabkan motosikal bergesel dengan sebuah kereta dari arah belakang.
“Kemudian datang pula dua buah kereta dari belakang yang gagal mengelak dan melanggar penunggang motosikal itu,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata, akibat kejadian itu, mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan parah pada kepala.
Katanya, siasatan lanjut pihaknya mendapati mangsa yang tidak mempunyai lesen memandu menunggang motosikal milik bapanya.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE