fbpx

Polis, LHDN tiada masa buat panggilan berjam-jam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Seorang pegawai penyiasat tidak akan melayan pihak dihubungi selama berjam-jam bagi mendapatkan maklumat diperlukan.

Sebaliknya, ia merupakan modus operandi yang digunakan scammer iaitu menyamar sebagai pegawai penyiasat ataupun ‘sarjan’ polis bagi mendapatkan butiran peribadi daripada ­mangsa.

Perkara tersebut dijelaskan oleh personaliti media sosial yang juga pemilik akaun Facebook Ulasan Apek Cina atau nama sebenarnya, Zee How Tai.

Menerusi satu hantaran di Facebook, beliau berkongsi, tiga rakannya menerima panggilan daripada pihak yang mendakwa daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara dan AIA Insurance.

Katanya, rakannya dimaklum­kan bahawa kad pengenalan mereka disalah guna oleh orang lain bagi tujuan seperti membuka syarikat atau membeli dan me­nuntut insurans.

“Kemudian, mereka akan me­nuduh melanggar undang-undang seperti tuntutan palsu atau pengubahan duit haram. Setelah itu, mereka akan menyambung talian kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan memberikan satu nombor telefon kepada kamu.

“Mereka meminta periksa nombor itu daripada Google, tetapi tidak membenarkan menelefon kerana kamu masih dalam talian,” katanya baru-baru ini.

How Tai yang merupakan seorang peguam bela berkata, nombor telefon diberikan itu berbeza sedikit dengan nombor sebenar, ada antaranya berbeza turutan.

“Sebagai contoh dalam kes itu, dia (scammer) bagi nombor seorang sarjan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan iaitu 06-678 2222, yang mana nombor sebenar adalah 06-786 2222,” katanya.

Berita berkaitan:  Mudah panik punca ditipu ‘LHDN’

Katanya, setelah nombor disambungkan kepada ‘PDRM’, mereka akan memberitahu nombor kad pengenalan dimiliki secara tepat, sebelum scammer menanyakan tentang perincian lain seperti nombor bank akaun, jumlah duit dan sebagainya.

“Apakah yang mereka lakukan seterusnya? Menakutkan kamu bahawa kamu adalah dalam siasatan untuk kes jenayah lain se­perti dadah, duit haram, lari cukai dan sebagainya. Kalau kamu potongkan talian masa itu, mereka akan panggil balik.

“Ketika itu, kamu sudah takut dan letih. Kamu akan menafikan segala-galanya. Masa itulah, ‘sarjan’ tersebut akan menakutkan kamu lagi dan menghulurkan bantuan,” katanya.

Menurutnya, jumlah bantuan pula bergantung kepada baki wang simpanan mangsa, iaitu sekiranya sedikit, maka scammer akan meminta mangsa meminjam dan mendepositkannya kepada akaun tertentu dan setelah kes selesai, mereka akan memulangkan wang tersebut.

“Jikal duit banyak, maka mereka akan meminta perincian perbankan dan kata laluan serta nombor TAC sebagainya untuk siasatan lanjutan untuk bersihkan nama kamu,” katanya.

Menurut How Tai lagi, ketiga-tiga sahabatnya itu telah meng­hubunginya menggunakan te­lefon kedua setelah berjam-jam berurusan dengan ‘sarjan’ atau ‘inspektor’ tersebut.

“Pegawai penyiasat tidak akan memanggil (menghubungi) kamu bertubi-tubi untuk siasatan de­ngan telefon.

“Biasanya mereka akan ­WhatsApp. Mereka tidak takut untuk memberikan nombor WhatsApp peribadi kerana ha­nya menunaikan tanggungjawab sebagai pegawai penyiasat.

“Mereka sibuk, tiada masa ‘melayan’ dalam talian berjam-jam. Jika maklumat lanjut diperlukan, mereka akan panggil kamu ke pejabat bawah seksyen 111-113 Kanun Tatacara Jenayah untuk membantu siasatan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI