PETALING JAYA – Tindakan seorang pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CR-V menghalang laluan sebuah ambulans walaupun siren telah lama dibunyikan mendapat kritikan banyak pihak.
Turut sama berkongsi sikap pentingkan diri pemandu berkenaan adalah Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah menerusi perkongsian di Facebook beliau.
“Astaghfirullah masih ada pemandu yang pentingkan diri sendiri sampai sengaja tidak memberikan laluan kepada pihak ambulan walaupun siren ambulan sudah lama dibunyikan di belakang kereta ini,” katanya.
Terdahulu, video berdurasi 39 saat yang dikongsi di Facebook itu memperlihatkan pemandu Honda CR-V yang tidak mengubah laluannya di lorong kanan biarpun siren ambulans telah lama dibunyikan.
Sikap pemandu berkenaan yang tidak memberi laluan kepada ambulans itu membuatkan ramai naik angin.
“Tunggu satu masa dia sakit, naik ambulans dan sangkut dalam trafik baru ada akal,” komen Nazhan Nasuffi.
“Menghalang penjawat awam ini, harap PDRM tangkap dan ambil tindakan,” tulis Ridzuan Yacob.
“Selepas ditularkan ini harap pemandu berubah, Tak kisah siapa pemandu ini sekalipun. Kalau nampak ambulans di belakang, tolong beri laluan untuk kecemasan,” ujar Omie Sungkai.- KOSMO! ONLINE.