PETALING JAYA – Permintaan kit ujian kendiri Covid-19 yang semakin berkurang menyebabkan beberapa peniaga mula menurunkan harga barangan itu sehingga RM4 bagi satu unit.
Penurunan harga itu dikesan berlaku selepas kerajaan melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) pada awal bulan ini.
Tinjauan Kosmo Ahad! di beberapa premis dan farmasi di Lembah Klang yang menjual kit ujian kendiri Covid-19 mendapati barangan itu berlambak di pasaran dan dijual dengan harga murah serendah RM3.99 berbanding RM6 hingga RM20 sebelum ini.
Seorang ahli farmasi yang mahu dikenali sebagai Shaktieswary berkata, harga kit ujian mula turun apabila permintaan semakin berkurang daripada orang ramai.
“Memandangkan kerajaan sudah mula membenarkan pergerakkan secara bebas, orang ramai hanya membeli kit ujian Covid-19 jika mereka ingin pergi bercuti, pulang beraya dan bila memerlukan sahaja,” katanya ketika ditemui.
Menurutnya kadar penjualan harga siling bagi satu kit ujian itu berubah mengikut kepada keadaan semasa.
Shaktieswary memberitahu, antara faktor yang menyumbang kepada berlakunya penurunan permintaan apabila syarikat-syarikat tidak lagi mewajibkan pelaksanaan ujian Covid-19 untuk mengekang penularan Covid-19 dalam kalangan pekerja.
Seorang jurujual di sebuah farmasi di Shah Alam, Fiza Mohd., 33, memberitahu, dia terpaksa menawarkan promosi RM4 untuk satu harga kit ujian tersebut.
“Kami menawarkan harga promosi untuk kit ujian pantas (RTK) mengikut pilihan jenama. Namun bagi test kit Salixum kekal pada RM10 untuk setiap satu,” katanya.
Di Shah Alam, seorang pembantu kedai, Muhd Fauzan, 22, berkata, meskipun ramai yang baru pulang ke Shah Alam dari kampung, penjualan kit ujian kendiri Covid-19 masih rendah.
Ujarnya, stok untuk kit ujian kendiri di cawangan ini masih banyak dari pelbagai jenama sehinggakan berlebihan pula.
“Harga untuk kit ujian kendiri sekarang dijual bermula dari harga RM5 hingga RM10. Biarpun harga sudah turun, orang ramai masih tidak mendapatkannya.
“Dalam sehari memang ada orang beli tetapi tidak seperti sebelum ini,” tambahnya.