HANOI – Atlet baling tukul besi negara, Grace Wong Xiu Mei berjaya menyumbang emas ke-12 buat kontinjen Malaysia pada temasya Sukan SEA Vietnam 2021 semalam.
Namun, Grace tidak berpuas hati dengan catatan yang dilakukan itu disebabkan masalah teknikal, sekali gus menyukarkannya untuk melepasi jarak 60m yang disasarkan.
Atlet yang berasal dari Sarikei, Sarawak tersebut membuat baling sejauh 57.13 meter (m), sekali gus mengubati kekecewaannya di Filipina.
“Saya tidak puas hati dengan prestasi hari ini. Saya ada masalah teknikal kerana wayar tukul besi terlalu pendek.
“Saya sasar mahu buat balingan sejauh 60 hingga 61 meter, tetapi tidak menjadi. Secara keseluruhan saya sangat gembira dengan kejayaan meraih emas di sini.
“Apa pun, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua, Majlis Olimpik Malaysia, Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara. Mereka membantu kami menyediakan latihan di Korea Selatan selama 42 hari dan kami berlatih dengan baik di sana,” katanya.
Sebagai rekod, ketika di Manila pada 2019, Grace, 22, terlepas genggaman emas di tangan seteru utama dari Thailand, Mingkamon Koomphon.
Namun di Hanoi, Koomphon terpaksa berpuas hati meraih perak dengan balingan sejauh 50.28m, manakala rakan senegaranya, Panwat Gimsrang gangsa, 49.64m.