JOHOR BAHRU – Demi kasih terhadap seorang anak yang menghidap leukimia, sepasang suami isteri sanggup berkorban termasuk berhenti kerja.
Hanif Alyahya Hamad yang berusia lapan bulan dikesan menghidap penyakit itu pada Januari lalu selepas menerima suntikan ketika berumur empat bulan.
Ibunya, Kasdiator Bawardin, 35, berkata, selepas suntikan itu, anaknya mula menunjukkan tanda sakit seperti demam berpanjangan, badan kuning dan pucat.
“Pada mulanya, saya ingatkan demam biasa kerana sebelum ini ketika menerima suntikan pertama, Hanif tidak menunjukkan tanda-tanda sakit atau demam.
“Saya membawa bayi ke klinik dan kemudian diarahkan pergi ke Hospital Sultan Ismail (HSI) sebelum doktor mengesahkan Hanif menghidap Juvenile Myelomonocytic Leukemia’’ katanya ketika ditemui di rumahnya di Flat Taman Megah Ria, Pasir Gudang.
Kasdiator memberitahu, luluh hatinya kerana terpaksa berdepan cabaran untuk mengubatinya, manakala suami, Hamad Kimson, 35, pula terpaksa berhenti kerja sebagai pemandu lori.
Pasangan suami isteri ini memiliki enam lagi anak berumur antara 2 hingga 17 tahun.
“Suami berhenti kerja kerana menjaga anak-anak di rumah apabila saya berada di hospital dalam tempoh lama apabila Hanif menjalani kemoterapi.
“Buat masa ini, suami bekerja sendiri demi mencari sumber pendapatan,” ujarnya.
Hamad pula berkata, mereka bernasib baik apabila menerima sumbangan daripada pelbagai pihak termasuk surau dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Menurut Hamad, anak ketiganya akan menjalani pembedahan air tulang belakang untuk Hanif Alyahya kerana dia sahaja yang sesuai untuk menderma.
“Dalam sebulan, kami perlukan kira-kira RM800 bagi kos rawatan termasuk kimorerapi, pemeriksaan darah, membeli lampin pakai buang dan pembelian susu untuk Hanif,” ujarnya.
Orang ramai boleh menyalurkan bantuan menerusi akaun Public Bank Kasdiator Bawardin iaitu 6-8845794-27.