PUTRAJAYA – Kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memperkenalkan tujuh kategori anugerah baharu dalam Anugerah Perdana Belia Negara sempena Hari Belia Negara 2022 (HBN2022) pada tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pengenalan tujuh kategori baharu tersebut sebagai inisiatif untuk menyuntik semangat golongan belia agar terus menyumbangkan bakti kepada pembangunan negara.
Katanya, sebanyak tujuh anugerah baharu pencarian ikon belia yang cemerlang dalam kategori dipertandingkan bagi 2022, termasuklah Ikon Belia Karismatik, Ikon Belia Kelestarian Alam serta Ikon Belia Reka Tekno.
Baki empat kategori baharu itu, menurut beliau, adalah Ikon Belia Influencer (Media Sosial), Ikon Belia Sanjungan Budi, Ikon Youth-Biz dan Ikon Belia Orang Kelainan Upaya (OKU).
“Saya juga berbesar hati mengumumkan bermula pada tahun ini, Anugerah Perdana Belia Negara akan dilaksanakan dalam majlis khusus yang penuh gemilang dan penggunaan logo tetap Sambutan HBN,” katanya ketika menyampaikan perutusan sempena HBN2022 hari ini.
Ismail Sabri berkata, ia merupakan komitmen kerajaan mengiktiraf pelaksanaan program yang meraikan golongan belia negara.
Pada masa sama, beliau berkata, sambutan HBN2022 mengangkat tema Ini Masa Kita, yang mana ia mengingatkan semua pihak betapa berharganya masa muda dan ia perlu dimanfaatkan dengan sebaik mungkin.
“Inilah masanya belia tampil melalui pelbagai peluang disediakan selari dengan konsep daripada belia untuk belia.
“Tema ini juga sinonim dengan golongan belia yang pada masa kini untuk bersama-sama membangunkan negara, walau dalam apa sekalipun keadaan yang melanda,” katanya. – KOSMO! ONLINE