fbpx

11 lelaki ditahan memandu mabuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara pesalah trafik yang ditahan JSPT KL menerusi operasi mingguan di sekitar ibu kota bermula Jumaat lalu.

KUALA LUMPUR – Seramai 11 lelaki ditahan kerana memandu dalam keadaan mabuk menerusi operasi mingguan yang dijalankan Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur di sekitar ibu kota di sini, malam tadi.

Operasi mingguan itu bermula pada Jumaat lalu dengan kekuatan 83 pegawai serta anggota polis dijalankan di sekitar pusat bandar, Jalan Raja Laut, Jalan Pahang, Jalan Kuching, Jalan Genting Klang dan Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (DUKE).

Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh berkata, pihaknya menahan 11 lelaki terbabit yang berusia lingkungan 22 hingga 62 tahun kerana memandu dalam keadaan mabuk.

“Kesemua suspek telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 45(a) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.

“Mereka telah dibawa ke Balai Polis Trafik, Kuala Lumpur dan akan dituduh mengikut seksyen yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, polis turut menahan tujuh individu berusia 17 hingga 25 tahun kerana melakukan aksi berbahaya seperti zig zag, roket, superman serta bersaing.

Katanya, kesemua suspek terbabit telah dibawa ke Balai Polis Trafik, Kuala Lumpur dan akan dituduh di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, JSPT KL secara keseluruhan turut mengeluarkan sebanyak 849 saman atas pelbagai kesalahan.

“Kita juga menyita lima motosikal di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan1987 atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan (ekzos).

“Motosikal yang disita akan diambil tindakan dan pemeriksaan oleh pihak Jabatan Alam Sekitar serta diarahkan mengubah ke struktur asal,” ujarnya lagi.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau pun maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI