PETALING JAYA – Selepas hampir dua minggu kita menyambut Aidilfitri, ramai yang kini mula mengalami masalah kesihatan dan terpaksa dirujuk ke hospital sejak kebelakangan ini.
Menerusi satu perkongsian di laman aplikasi TikTok, Pakar Nefrologi dan Perubatan Dalaman, Hospital Putrajaya, Dr. Rafidah Abdullah berkata, terdapat beberapa penyakit yang kini ‘popular’ selepas musim perayaan.
“Lepas Aidilfiri ini antara sebab kenapa ramai perlu datang ke kecemasan hospital iaitu kencing manis terlampau tinggi dan juga masalah darah tinggi.
“Selain itu, ada juga pesakit yang mengalami masalah air berlebihan dalam badan atau dipanggil ‘fluid overload’ dan juga masalah serangan jantung dan strok,”tulisnya di TikTok.
Rafidah menambah, antara punca serangan pelbagai penyakit tersebut adalah kerana tidak makan ubat seperti yang disyorkan dan terlupa bawa ubat semasa balik kampung.
Tambah beliau, makan dan minum secara berlebihan pada musim perayaan juga turut menyebabkan individu terkena pelbagai penyakit sehingga terpaksa di bawa ke hospital.
Susulan perkongsian itu, rata-rata pengguna aplikasi berkenaan telah meninggalkan pelbagai komen dan perkongsian berkenaan penyakit yang dialami selepas musim perayaan.
“Ramai sahabat dan saudara saya meninggal dunia, mereka terlebih makan. ada yang tak buat dialisis,”tulis @zurainikamalCSM.
Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai @Ayda Ida Ismail.
“Betul tu doktor, saya pun darah naik, kolestrol naik, susah elak makanan dok depan mata daging satay, ayam rendang, pulut, kadang ubat pulak lupa,”katanya. – KOSMO! ONLINE