PETALING JAYA – Selepas membuat pendedahan menghidap skizofrenia sejak sekian lama, pelakon seksi Scha Elinnea memberitahu keadaan kesihatan mentalnya kini dalam keadaan terkawal.
Bagaimanapun, Scha atau nama lengkapnya Nur Azleen Natasha Mohamed Mubeen masih perlu bergantung pada pengambilan ubat-ubatan.
“Alhamdulillah tahap kesihatan mental saya sekarang masih dalam keadaan baik, namun saya masih perlu bergantung pada pengambilan ubat-ubatan.
“Namun saya tidak lagi perlu berjumpa dengan pakar psikiatri setiap minggu seperti sebelum ini,” katanya ketika ditemu bual sewaktu sidang media virtual drama Kerana Aku Isteri Bidaan baru-baru ini.
Ujar pelakon itu lagi, sesekali dia masih mengalami masalah mental tahap sederhana, namun penyakit itu tidak menjejaskan aktivitinya sewaktu berada di lokasi penggambaran.
“Saya akui sesekali saya akan mengalami gangguan mental sederhana seperti berasa ‘down’. Tapi tidaklah teruk sehingga menjejaskan kerja.
“Saya bersyukur tahap kesihatan mental saya semakin baik dan terkawal sekarang,” katanya.
Terdahulu, Scha dalam pendedahannya kepada Kosmo! pada penghujung tahun lalu memberitahu dirinya perlu berjumpa doktor hampir setiap minggu selepas didiagnosis menghidap skizofrenia yang berpunca daripada masalah kebimbangan melampau (anxiety) dan kemurungan.
Kongsi pelakon drama Si Tik Tok itu juga, sejak menderita penyakit tersebut, dia mengalami masalah seperti tangan berpeluh dan gelisah ketika berada di tempat orang ramai.
“Apabila keluar bersosial, saya mula berasa gelisah, takut dan tangan berpeluh. Apabila tinggal seorang diri pula, saya rasa seperti semua serba tidak kena.
“Depresi pula membuatkan saya rasa susah untuk bernafas,” ujarnya.
Tambah Scha, dia juga perlu mengambil ubat penenang sekiranya mempunyai komitmen kerja termasuk penggambaran drama.
Selain Scha, antara selebriti lain yang turut didiagnosis menghidap skizofrenia ialah pelakon, Janna Nick. – KOSMO! ONLINE