GUA MUSANG – Seorang remaja lelaki maut, manakala dua adik dan seorang sepupunya parah selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta di Kilometer 27, Jalan Gua Musang-Jeli di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.10 pagi, Mohamad Aikar Abdull Rahim, 14, yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 milik bapanya meninggal dunia di lokasi kejadian selepas cedera parah pada bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati, seorang lelaki berusia 34 tahun memandu sebuah kereta jenis Proton Perdana sedang dalam perjalanan dari arah Kampung Meranti menuju ke Gua Musang.
Menurutnya, ketika kejadian, motosikal yang ditunggang Mohamad Aikar bersama tiga pembonceng itu berhenti di garisan putih di tepi jalan.
“Mangsa dipercayai tiba-tiba membuat pusingan U untuk masuk ke Pusat Internet Komuniti Kampung Kala Star di sini.
“Insiden itu menyebabkan pemandu kereta Proton Perdana tidak sempat mengelak sebelum merempuh motosikal yang dinaiki keempat-empat mangsa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurut Choon Foo, ketika kejadian, kesemua mangsa tidak memakai topi keledar.
Katanya, dua adik mangsa, Siti Nur Maisarah, 9, dan Mohamad Arif, 5, masing-masing patah paha kanan dan mengalami gegaran otak selain cedera di bahagian hati manalala sepupu mereka, Nur Izzati Ariffin, 11, patah kaki kanan.
Tambahnya, mayat Mohamad Aikar dihantar ke Hospital Gua Musang untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE