fbpx

Presiden Sheikh Khalifa Zayed meninggal dunia, UAE berkabung 40 hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sheikh Khalifa dianggap bapa permodenan UAE yang menyaksikan pertumbuhan ekonomi moden di negara itu. - EPA

DUBAI – Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) memulakan tempoh berkabung selama 40 hari selepas Presiden Sheikh Khalifa Zayed disahkan meninggal dunia pada usia 73 tahun, semalam, lapor akhbar Metro UK.

Punca kematian pemerintah UAE selama 18 tahun itu bagaimanapun tidak didedahkan oleh Kementerian Hal Ehwal Presiden dalam kenyataan rasminya pada lewat petang Jumaat.

Kementerian telah mengumumkan bahawa UAE akan mengadakan perkabungan nasional selama empat puluh hari dengan bendera dikibarkan separuh tiang mulai semalam.

Selain itu, urusan akan dihentikan di semua kementerian, jabatan, dan entiti persekutuan, tempatan dan swasta selama tiga hari.

Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan telah berkhidmat sebagai presiden UAE dan pemerintah Abu Dhabi sejak 3 November 2004.

Beliau telah menggantikan bapanya, Sheikh Zayed bin Sultan Al Nahyan, presiden pertama UAE, yang telah menjadi presiden selepas pembentukan UAE pada 1973 dan kekal dalam jawatan itu sehingga kematiannya pada 2 November 2004.

Sheikh Khalifa menyelia sebahagian besar pertumbuhan ekonomi negara yang pesat dan dilihat sebagai pemoden pro-Barat yang menyelaraskan negara Arab Teluk lebih dekat dengan Amerika Syarikat (AS).

Namanya diabadikan di bangunan tertinggi di dunia, Burj Khalifa, selepas menyelamatkan Dubai dengan meminjamkan AS$10 bilion (RM43.9 bilion) yang pada ketika itu ‘lumpuh akibat hutang’ semasa krisis kewangannya lebih sedekad lalu.

Bagaimanapun, selepas diserang angin ahmar dan menjalani pembedahan kecemasan pada 2014, beliau tidak lagi terlibat dalam urusan harian memerintah negara.

Beberapa tahun terakhir dalam hidupnya menyaksikan beliau menyerahkan majoriti tugasan pentadbiran kepada Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohammed bin Zayed.

Sheikh Mohammed menjadi pembuat keputusan bagi langkah dasar luar negara seperti menyertai perang pimpinan Arab Saudi di Yaman dan menerajui sekatan ke atas Qatar sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Putera mahkota itu juga timbalan komander tertinggi angkatan bersenjata, memulihara hubungan baru UAE dengan Israel.

Tiada pengumuman segera mengenai penggantinya walaupun Sheikh Mohammed dijangka akan menuntut jawatan presiden yang sedang kosong. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI