HANOI – Jaguh pecut muda negara, Muhammad Arsyad Md. Saat terkilan apabila berdepan masalah di blok permulaan sekali gus berdepan kesulitan ketika beraksi pada aksi final 200 meter (m) di Stadium Nasional My Dinh sebentar tadi.
Arsyad menegaskan blok tersebut bergerak kebelakang sekali gus menyukarkannya melakukan permulaan sempurna dan terpaksa berpuas hati menamatkan saingan di kedudukan keempat keseluruhan.
Meskipun berdepan masalah, Arsyad berbangga apabila dia mampu mencatat keputusan cukup baik dengan catatan masa 20.95 saat.
Ia sekali gus memperbaharui rekod peribadi (PB) 200m buat pelari dari Johor itu yang sebelum ini mencatat masa 21.20s yang dilakukan pada aksi saringan di sebelah pagi.
“Saya mempunyai beberapa masalah di blok permulaan, ia terus tergelincir ke belakang walaupun saya cuba memperbaikinya beberapa kali.
“Saya tidak dapat bermula dengan baik kerana masalah ini. Saya cuba untuk mengejar semula, tetapi tidak dapat melakukannya.
“Saya hanya mampu menduduki tempat keempat, tetapi saya masih gembira kerana telah memperbaharui PB saya dua kali hari ini (semalam),” katanya sejurus tamat perlumbaan. – KOSMO! ONLINE