fbpx

Jenazah tiga pelajar rentung dituntut keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jenazah mangsa dibawa ke Masjid Raja Permaisuri Bainun USAS untuk disembahyangkan sebelum terus dibawa balik ke kediaman waris masing-masing .FOTO MUHAMAD NAZREEN SYAH BIN MUSTHAFA

KUALA KANGSAR – Jenazah tiga lagi pelajar rentung dalam kemalangan di Kilometer 245.2 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara di sini diserahkan kepada waris masing-masing setelah proses pengecaman selesai.

Jenazah Muhammad Nasrun akan dibawa ke Kuala Kubu Bharu, Selangor manakala jenazah Muhammad Nabil Haikal ke Mantin, Negeri Sembilan untuk dikebumikan selepas subuh.

Jenazah Iqbal Hasnun pula akan dikebumikan di Senai, Johor.

Identiti tiga pelajar tersebut telah disahkan melalui rekod pergigian berdasarkan perbandingan dengan rekod pergigian dari klinik dan institut pergigian yang lain.

Terdahulu, kesemua jenazah dibawa ke Masjid Raja Permaisuri Bainun Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) untuk disolatkan.

Jenazah Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22; Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dan Iqbal Hasnun Halimi, 23, tiba di masjid itu kira-kira 11.15 malam tadi.

Suasana hiba menyelubungi pekarangan masjid apabila jenazah dibawa untuk disembahyangkan dan jemaah yang hadir mengerumuni jenazah bagi menatap mereka buat kali terakhir.

Lebih 300 pelajar, kakitangan universiti dan jemaah lain hadir termasuk ahli keluarga.

Semalam, mayat tiga pelajar itu dihantar ke Hospital Taiping bagi proses bedah siasat selanjutnya sebelum dituntut keluarga.

Sementara itu, Pengarah Hospital Taiping, Dr Hajah Narimah Yusof dalam satu kenyataan memberitahu, identiti ketiga-tiga mangsa berjaya dikenal pasti hasil bedah siasat dan pemeriksaan forensik odontologi.

“Bedah siasat yang dijalankan bersama pasukan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Taiping dan Unit Forensik Odontologi Hospital Kuala Lumpur mengambil masa kurang 24 jam untuk mengenal pasti ketiga-tiga mangsa berkenaan,” katanya.

Media kelmarin melaporkan, lima pelajar USAS maut selepas terlibat dalam kejadian kebakaran kereta dan treler di Kilometer 245.2, Lebuh Raya Utara Selatan, tengah malam tadi. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN