fbpx

Guru OKU komited terhadap profesion perguruan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZAWATI cekal mendidik pelajar OKU dan tidak menjadikan dirinya sebagai menghalang meilhat anak bangsa berjaya.

KOTA BHARU – Kekurangan aspek fizikal yang dialami sejak lahir bukan penghalang buat Zawati Yusoff, 52, untuk menabur bakti mendidik anak bangsa serta komited dalam profesion perguruan yang diceburinya sejak 21 tahun lalu.

Biarpun bergelar orang kelainan upaya (OKU) fizikal, ibu kepada seorang cahaya mata berusia lapan tahun itu tetap menjalani kehidupannya sama seperti individu normal meskipun ketinggian tubuh badannya hanya 95 sentimeter.

Menurut Zawati, dia dilahirkan dengan kekurangan fizikal iaitu tiada lutut dan kakinya terus bersambung ke bahagian paha.

Zawati memberitahu, sepanjang 21 tahun bergelar guru, dia telah menabur bakti di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Mas selama lima tahun, SMK Panji selama 16 tahun dan terbaharu di SMK Pengkalan Chepa 2 di sini sejak bulan lalu.

“Saya merupakan guru pendidikan khas dan mengajar pelbagai mata pelajaran terutamanya Pendidikan Islam. Di SMK Pengkalan Chepa 2, saya bersama lapan orang lagi guru mengajar seramai 87 pelajar OKU
berusia 13 hingga 20 tahun.

“Sebagai guru, saya diamanahkan untuk mengajar pelajar OKU antaranya sindrom down, mental, pembelajaran, lembam dan hiperaktif atau gangguan hiperaktif defisit tumpuan (ADHD),” katanya ketika
ditemui di rumahnya di Kampung Chekok di sini semalam.

Zawati memberitahu, mengajar pelajar OKU tidak sama seperti mendidik pelajar normal dan sesi pembelajaran tidak hanya tertumpu di dalam kelas tetapi persekitaran sekolah sebagai bilik darjah kepada mereka.

“Ketika mengajar pendidikan jasmani, saya sendiri turun ke padang untuk melakukan senamrobik bersama-sama pelajar. Saya tidak menjadikan kekurangan fizikal ini sebagai alasan untuk berpeluk tubuh dengan hanya melihat pelajar membuat aktiviti.

“Pihak sekolah juga menyediakan papan putih yang lebih rendah untuk digunakan pada sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) di dalam kelas kerana papan putih asal dibina agak tinggi dan sukar untuk PdP,”
katanya.

Cerita Zawati, cabaran utama sepanjang dia bergelar guru OKU apabila terpaksa berjalan jauh dari satu lokasi ke satu lokasi lain.

Ini kerana katanya, dirinya akan cepat penat dan kakinya mudah sakit jika berjalan sepanjang hari.

Disebabkan itu, dia terpaksa memandu kereta yang sudah diubah suai tempat duduk pemandunya untuk ke kawasan padang sekolah atau kantin.

“Mujur bilik darjah untuk pelajar OKU di tiga buah sekolah yang pernah saya mengajar berada di tingkat bawah. Cuma saya menghadapi sedikit masalah apabila perlu menaiki tangga untuk ke mesin perakam waktu kerja di pejabat pada waktu pagi.

“Saya pernah beberapa kali terjatuh dari atas kerusi ketika menggunakan papan putih di sekolah. Perkara itu normal buat saya kerana ia merupakan asam garam dalam kehidupan terutamanya bagi individu OKU,” jelasnya

Menurut pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia itu, dia bersyukur apabila suami,yang juga OKU fizikal Mohammed Zainuddin Derahman, 46, yang dinikahinya sejak 14 tahun lalu banyak membantu memudahkan urusan harian terutamanya di rumah.

Katanya, sepanjang berkhidmat sebagai guru, dia pernah menerima Anugerah Guru Cemerlang OKU Peringkat Negeri Kelantan sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 2010, 2016 dan 2019 selain Tokoh Zinnirah Al-Rumiyah (OKU) sempena Hari Siti Khadijah tahun lalu.

Tambah Zawati, beliau berharap setiap sekolah mampu menyediakan kemudahan tandas mesra OKU yang pastinya akan memberi lebih keselesaan kepada individu yang mengalami kekurangan aspek fizikal. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI