HELSINKI – Kerajaan Finland mengumumkan bahawa negara itu akhirnya bersetuju dengan tawaran untuk menjadi sebahagian daripada Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Perkara tersebut diumumkan oleh Presiden Sauli Niinisto dan Perdana Menteri Sanna Marin dalam satu kenyataan bersama dengan permohonan rasmi akan diambil pada hujung minggu ini.
Pengumuman tersebut mendapat perhatian Kremlin yang membuat kenyataan balas dengan mengatakan akan mengambil langkah serupa seperti yang dilaksanakan ke atas Ukraine sekiranya hal tersebut benar-benar berlaku.
“Perluasan NATO dan pendekatan pakatan ke sempadan kita tidak menjadikan dunia dan benua kita lebih stabil dan selamat,” kata jurucakap Kremlin Dmitry Peskov kepada pemberita.
Sebuah lagi negara iaitu Sweden juga dijangka mengumumkan keputusannya mengenai keahlian NATO dalam beberapa hari akan datang.
Keputusan itu kemungkinan besar akan diumumkan pada mesyuarat hujung minggu ini yang diketuai Parti Demokratik Sosial, Perdana Menteri Magdalena Andersson.
“Finland mesti memohon keahlian NATO tanpa berlengah-lengah.
“Keanggotaan NATO akan mengukuhkan keselamatan Finland. Sebagai ahli NATO, Finland akan mengukuhkan keseluruhan pakatan pertahanan,” ,” kata Niinisto dan Marin dalam satu kenyataan bersama.
Sementara itu di Washington, jurucakap Pentagon, John Kirby berkata keputusan Finland dan Sweden meresahkan Presiden Rusia, Vladimir Putin yang tidak mahu kekuatan NATO bertambah kukuh di sayap baratnya.
“Putin sedar meskipun kedua-dua negara itu kecil namun impak menjadi sebahagian anggota NATO akan menambahkan kekuasaan mereka,” jelas Kirby.
Moscow telah berulang kali memberi amaran kepada Stockholm dan Helsinki mengenai akibat yang bakal diterima jika mereka menyertai pakatan itu.
Namun begitu, Niinisto menegaskan bahawa penyertaan Finland dalam NATO tidak memberi gambaran tentangan terhadap mana-mana pihak.
“Menyertai NATO tidak bermaksud Finland berhasrat menentang sesiapa pun.
“Buat Rusia, apa yang anda lakukan sekarang adalah punca mengapa situasi ini berlaku jadi lihat ke arah cermin sebelum mengeluarkan ugutan,” ujar beliau.
Setiausaha Agung NATO Jens Stoltenberg berkata Khamis kemasukan Finland akan menjadi “lancar dan pantas”.
Menteri Luar Pekka Haavisto berkata pada hari Selasa dia percaya Finland boleh menjadi anggota penuh NATO “paling awal” pada 1 Oktober.- AFP