LONDON – Pengendali Tottenham Hotspur, Antonio Conte menggesa rakan sejawatnya, Mikel Arteta supaya ‘kunci mulut’ daripada terus dengan merungut sebaliknya menumpukan perhatian penuh kepada perjuangan Arsenal.
Reaksi itu dibuat selepas Arteta seakan cuba menyalahkan keputusan pengadil selepas The Gunners tewas 0-3 di Stadium Tottenham Hotspur, awal pagi semalam sekaligus menyaksikan mereka terpaksa terus menunggu untuk menoktahkan slot ke Liga Juara-Juara musim depan.
Seakan tidak cukup dengan kejayaan tiga gol, Conte meminta pengurus dari Sepanyol itu berhenti daripada merungut memandangkan permintaannya untuk menunda perlawanan yang sepatutnya dilangsungkan Januari lalu sudah pun dipenuhi oleh pihak penganjur.
“Mikel Arteta adalah seorang jurulatih yang bagus. Dia baru saja memulakan tugasnya, tetapi sering kali saya dengar dia meluahkan rungutan. Saya fikir dia perlu fokus kepada pasukannya dan bukan mengeluh.
“Dia perlu lebih tenang dan cuba teruskan kerja dilakukannya kerana dia memiliki kualiti, sebaliknya ia akan menjadi sesuatu yang tidak bagus jika seseorang jurulatih selalu mengeluh. Bagi saya kad merah dalam perlawanan ini sudah pun jelas,” katanya.
Pada perlawanan itu, bintang England, Harry Kane meledak dua gol diikuti jaringan ketiga daripada Son Heung-min sekaligus mematikan perjuangan Arsenal yang terpaksa bermain 10 pemain selepas Rob Holding dilayangkan kad merah.
Dalam pada itu, Conte seakan beri bayangan yang beliau cukup kecewa kerana terpaksa meneruskan aksi dengan Burnley, malam esok.
“Jika kami mahu mengeluh, kami ada banyak alasan untuk melakukannya. Kami terpaksa menentang Burnley pada tengah hari sedangkan Arsenal pada sebelah malam (waktu England),” jelasnya. – AGENSI