SEKITAR 36 tahun lalu, lagu malar segar, Take My Breath Away dendangan Berlin diluncurkan sebagai lagu tema filem nostalgia berjudul Top Gun lakonan Tom Cruise dan Kelly McGillis.
Kini pada tahun 2022, penyanyi pop, Lady Gaga diberi tanggungjawab bukan hanya menyanyikannya bahkan bertindak sebagai komposer lagu yang diberi judul Hold My Hand bersempena sekuel filem berkenaan yang bertajuk Top Gun: Maverick.
Adakah Hold My Hand akan mengikuti jejak langkah Take My Breath Away dengan menjadi antara lagu tema filem paling diingati sepanjang zaman? Itu tidak mustahil.
Dan adakah nyanyian Gaga mempunyai kualiti selaras legasi ditinggalkan Berlin? Semestinya!
Pertama sekali, dari segi komposisi muzik atau kerja-kerja melibatkan perihal terbabit, Hold My Hand tidak dapat dinafikan terkandung kualiti yang sukar untuk disangkal.
Vibe 1990-an
Sama seperti Take My Breath Away, Gaga dan BloodPop (komposer dan penerbit) bijak menyelitkan elemen atau ‘vibe’ 1990-an sekali gus membuatkannya begitu ‘senang’ melekat dalam minda.
Secara peribadi, ketika pertama kali mendengar, keseluruhan karya sudah boleh hafal atau paling tidak, pada bahagian korusnya.
Hold My Hand diadun dan diolah dengan ketelitian yang tidak tersasar dari signatur muzik filem bernama Top Gun. Barangkali sukar untuk berada dalam liga impak yang ditinggalkan Take My Breath Away, namun satu yang tidak boleh dinafikan, lagu berkenaan memang benar-benar mempunyai kehebatan tersendiri.
Berkemungkinan besar akan melayakkan Gaga sekali lagi naik ke pentas Academy Awards untuk menerima trofi Lagu Asal Terbaik sama seperti pencapaian dilakar menerusi lagu Shallow yang dipetik dari filem A Star Is Born.
Vokal Gaga ‘gila’
Kedua, Gaga terus membuktikan kepada dunia bahawa dia sememangnya antara bintang yang berbakat. Bukan hanya dari segi penggubahan lagu tetapi listrik vokal.
Menerusi Hold My Hand, Gaga memberi peringatan bahawa dia juga antara vokalis wanita berstatus ‘powerhouse’.
Perkara berkenaan terbukti menerusi kehebatan vokal, penghayatan emosi, clarity (kejelasan) sebutan yang disematkan dalam lagu berkenaan. Barangkali buat segelintir pendengar, mereka tidak menyangka yang Gaga mampu menyanyi sebaik itu.
Buat kelompok peminat yang digelar Little Monsters, mereka sudah tahu yang Gaga merupakan antara vokalis terhebat yang bernafas di dunia ini. Tak percaya, pergi ke YouTube, tonton persembahan langsung Gaga di pentas Oscar menyanyikan lagu tribut The Sound of Music.
Banyak lagi persembahan Gaga yang membuktikan dia bukan sembarangan penyanyi, namun kebanyakan daripada kita mungkin hanya mengenalinya sebagai penyanyi ‘gila glam’ yang pernah menggayakan busana diperbuat dari daging. Itu kerugian yang tidak wajar.
Ikut jejak Take My Breath Away
Menjadi kekhuatiran sekarang, sama ada Hold My Hand mampu mengikut jejak langkah Take My Breath Away dari segi jualan atau persembahan di carta ulung dunia seperti Billboard Hot 100.
Dari segi kualiti, perkara tersebut sudah dilunaskan sebaiknya Gaga dan pasukan. Cuma pada zaman digital dan media sosial, pola kiraan jualan sesebuah diskografi atau karya juga turut berubah.
Kalau dari segi ‘longevity’, lagu tersebut tidak mustahil akan terus dimainkan pada masa depan. Sementara untuk Oscar pula? Hold My Hand kini antara pencabar di barisan paling hadapan bukan hanya untuk kategori Lagu Asal Terbaik, bahkan Skor Asal Terbaik kerana Gaga juga terlibat sebagai komposer untuk album soundtrack di samping Harold Faltermeyer dan Hans Zimmer (ehem!).