QUANG NINH – Jelitawan bola tampar Indonesia, Yolla Yuliana tidak rela pulang dengan tangan kosong pada Sukan SEA Vietnam 2021 menjelang pembukaan acara itu di Arena Sukan Dai Yen hari ini.
Justeru, atlet berusia 28 tahun itu menggesa semua rakan sepasukannya agar menampilkan permainan terbaik menjelang aksi pertama peringkat kumpulan menentang tuan rumah yang merupakan naib juara edisi Manila 2019.
“Kami perlu lakukan yang terbaik bermula daripada saat ini. Segala persiapan yang telah dilakukan sebelum ini tidak seharusnya disia-siakan begitu sahaja.
“Biarpun persediaan yang singkat, tetapi kami percaya pasukan ini mempunyai kemampuan untuk memberikan persembahan maksimum bagi mencapai sasaran utama,” kata Yuliana yang mempunyai ketinggian 180 sentimeter.
Berdasarkan senarai pemain dibawa, ini adalah peluang terbaik buat Indonesia untuk menamatkan penantian memenangi pingat emas bola tampar wanita sejak kali pertama memenanginya pada edisi Singapura 1983.
Bagaimanapun, ia tidak mudah kerana Indonesia bukan sahaja perlu melepasi halangan Vietnam, tetapi harus mencari jalan untuk memecahkan dominasi Thailand yang sudah memenangi 12 edisi Sukan SEA berturut-turut sejak 1995.
“Semua orang tahu kekuatan Thailand, namun tiada sesiapa mempunyai pengetahuan mengenai kemampuan sebenar Vietnam. Mereka sama seperti kami yang tidak banyak mendedahkannya di laman sosial,” jelas Yuliana.
Satu lagi aksi pada saingan hari pertama menyaksikan pertemuan antara Malaysia menentang bekas juara enam kali, Filipina. – AGENSI